malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Badminton: 'Inilah barisan terbaik ketika ini'
Diterbitkan:  Jan 4, 2018 6:46 PM
Dikemaskini: 10:50 AM
ADS

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menyifatkan barisan pemain yang dipilih untuk menggalas cabaran negara di Kejohanan Berpasukan Asia (Kelayakan Piala Thomas) di Alor Setar, Kedah pada 6 hingga 11 Februari ini merupakan pasukan terbaik ketika ini.

BAM mengumumkan senarai pemain pada kejohanan itu akan diketuai Datuk Lee Chong Wei, Lee Zii Jia, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Soong Joo Ven bagi acara perseorangan lelaki manakala beregu lelaki terdiri daripada Tan Wee Kiong-Goh V Shem, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Muhd Rumsani.

BAM turut menyenaraikan Leong Jun Hao sebagai pemain perseorangan pilihan keempat untuk tujuan pendedahan.

“Pemilihan pemain tersebut dibuat menerusi ranking dalaman yang dilakukan secara mingguan oleh ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan & Latihan (C&T), di Kuala Lumpur, hari ini.

“Setiap pemain diberikan peluang untuk berlawan antara satu sama lain yang akan menentukan ranking dalaman tersebut. Mereka merupakan senarai terkini pemain-pemain yang ingin diketengahkan jurulatih.

“Pemilihan Iskandar kerana tahun ini beliau perlu membuktikan prestasinya. Memandangkan Iskandar telah pulih daripada kecederaan dan keyakinan diri, Misbun memaklumkan beliau (Iskandar) sudah bersedia menghadapi cabaran yang lebih besar tahun ini.

“Kombinasi Iskandar dan Zii Jia adalah yang terbaik. Zii Jia dari segi ranking adalah kedua terbaik selepas Chong Wei,” katanya.

Bagi senarai beregu pula, Mohamad Norza berharap V Shem-Wee Kiong mendapat semula prestasi cemerlang mereka setelah digandingkan semula tahun ini.

Mohamad Norza berkata Kejohanan Thailand Masters, Malaysia Masters, Indonesia Masters dan Terbuka India pada bulan ini merupakan kejohanan yang penting untuk kesemua pemain menyiapkan diri dalam misi meraih kelayakan Piala Thomas.

Malaysia kini menghuni tempat ketujuh dalam ranking dunia di hadapan Indonesia, India serta Hong Kong dan perlu menamatkan Kejohanan Berpasukan Asia di kedudukan empat terbaik bagi mendapatkan slot automatik Piala Thomas di Bangkok, Mei depan.

Sekiranya gagal ke separuh akhir dan tiga pasukan di bawahnya berjaya ke saingan empat terbaik, Malaysia buat kali pertama dalam sejarah penglibatannya, gagal ke kejohanan Piala Thomas.

Lihat Komen