malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
'Gugur sepak takraw ibarat bunuh warisan anak Melayu'
Diterbitkan:  Jan 4, 2018 5:48 PM
Dikemaskini: 9:52 AM
ADS

Tindakan menggugurkan sepak takraw sebagai sukan teras negara serta tidak dipertandingkan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2018 diibaratkan sebagai membunuh warisan sepak takraw yang dicipta oleh anak Melayu, kata Pengasas Permainan Sepak Raga Jaring/Sepak Takraw, Tan Sri Mohd Yusoff Latif.

Beliau berkata tindakan Majlis Sukan Negara (MSN) menggugurkan permainan itu merupakan satu tamparan hebat kepada sukan itu yang merupakan permainan anak Melayu khasnya di negeri ini sejak turun temurun.

“Sepak takraw dicipta oleh anak bangsa kita sendiri dan ia merupakan permainan rakyat yang amat popular di desa dan boleh dikatakan dikenali sebagai permainan asli anak muda Melayu.

“Saya percaya Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) di bawah pimpinan presidennya Datuk Seri Ahmad Ismail akan mengadakan pertemuan dengan MSN bersama menteri terlibat supaya mempertimbangkan dan menerima balik sepak takraw sebagai sukan teras dan dipertandingkan pada Sukma 2018,” katanya pada sidang media di George Town hari ini.

Mohd Yusoff, yang juga Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), turut merayu Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sukma ke-19 untuk mengambil perhatian dalam menyelesaikan perkara itu.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengumumkan acara angkat berat, sepak takraw dan taekwondo digugurkan daripada 19 sukan teras negara di bawah program MSN bermula Sukma Perak 2018.

Perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Lembaga Pengurus MSN yang dipengerusikan Khairy, berikutan prestasi merosot tiga sukan berkenaan, selain terpalit isu doping serta kemelut kepimpinan dalam persatuan. -Bernama

Lihat Komen