malaysiakini logo
story-image
ADS

Jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei membuka kempen di Kejohanan Badminton Siri Super Akhir Dunia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan langkah kanan apabila menewaskan pemain Hong Kong, Angus Ng Ka Long, hari ini.

Pemain nombor dua dunia itu mengambil masa 40 minit sebelum berjaya menebus kekalahannya kepada Angus di Terbuka China bulan lepas, dengan kemenangan mudah 21-14 dan 21-13.

Pemain berusia 35 tahun itu akan berdepan Son Wan Ho dari Korea Selatan dalam perlawanan kedua kumpulan A, selepas pemain di ranking kelima dunia itu mendapat kemenangan percuma apabila pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016, Chen Long menarik diri kerana mengalami kecederaan.

Penarikan diri jaguh dari China itu, menyaksikan Chong Wei mempunyai peluang cerah untuk sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah US$1 juta (kira-kira RM4.09 juta).

Berdasarkan format perlawanan, hanya juara dan naib juara kumpulan akan mara ke peringkat seterusnya.

Dalam saingan pembukaan kumpulan B pula, menyaksikan pemain China, Shi Yuqi mengenepikan Chou Tien Chen dari Taiwan dengan 21-19 dan 21-17 manakala satu lagi perlawanan akan membabitkan pemain nombor satu dunia Viktor Axelsen dari Denmark menentang K. Srikanth dari India.

Untuk rekod, Chong Wei telah memenangi gelaran Siri Super Akhir sebanyak empat kali iaitu tiga tahun berturut-turut dari 2008 hingga 2010 dan 2013.

Sementara itu, gandingan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing gagal meneruskan rentak cemerlang rakan senegara apabila terpaksa tunduk kepada pasangan China, Wang Yilyu-Huang Dongping 21-12 dan 21-11 dalam perlawanan pertama kumpulan B.

Pasangan beregu campuran negara yang berada di ranking ke-11 dunia itu bermula dengan mantap di awal perlawanan, bagaimanapun tidak dapat mengekalkan rentak konsisten yang memaksa mereka untuk tunduk kepada pasangan yang berada di ranking keempat itu.

Kian Meng-Pei Jing dijadualkan berdepan Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir dari Indonesia pada perlawanan kedua sebelum menghadapi cabaran dari pasangan England, Chris Adcock-Gabrielle Adcock. -Bernama

Lihat Komen