malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Piala Malaysia: Kedah, JDT ke pentas akhir
Diterbitkan:  Oct 21, 2017 10:53 PM
Dikemaskini: 4:34 PM
ADS

PIALA MALAYSIA | Kedah mengesahkan tiket ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2017 selepas menang ke atas Felda United 2-0 dalam aksi separuh akhir kedua yang berlangsung malam tadi.

Kemenangan skuad Lang Merah dalam perlawanan timbal balik itu adalah hasil daripada dua jaringan Sandro da Silva Mendonca masing-masing pada minit ke-71 dan minit ke-85.

Jaringan pemain import dari Brazil itu sekali gus memastikan Kedah sebagai juara bertahan dan mara ke final buat kali ketiga berturut-turut.

Anak buah B Sathianathan sempat mengancam kubu Kedah di hujung babak pertama dan tampil lebih agresif pada separuh masa kedua.

Namun pasukan pelawat itu gagal menemukan penyudah.

Meskipun ketiadaan tonggak utama Liridon Krasniqi dan Ken Ilso, percaturan Nidzam Adzha Yusoff tetap berkesan untuk membawa Kedah ke pusingan akhir Piala Malaysia edisi ke-51.  

Agregat 3-1 kekal sehingga detik akhir perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Kedah.

Sementara itu, JDT turut layak ke peringkat akhir Piala Malaysia edisi ke-51 selepas menang ke atas Perak 3-0 di Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunos, Larkin di Johor,

Kedua-dua pasukan memulakan perlawanan dengan agregat 1-1 selepas mencatat keputusan seri pada pusingan separuh akhir pertama di Stadium Perak Ahad lalu.

Babak pertama perlawanan berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan saling menyerang dan mencipta beberapa peluang namun gagal menghasilkan jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.

Pada minit ke-57 Gonzalo Cabrera akhirnya menggamatkan stadium dengan sorakan lebih 28,000 penyokong tuan rumah selepas bola hantaran Gabriel Guerra disudahkan dengan jaringan pertama buat JDT.

Guerra seterusnya meletakkan JDT selesa di depan dengan gol kedua pada minit ke-74 hasil umpanan Afiq Fazail.

Gol ketiga JDT hadir pada minit ke-80 melalui sentuhan  Mohammed Ghaddar sekaligus menenggelamkan Perak yang dilihat cuba bangkit pada minit-minit akhir permainan.

Agregat 4-1 kekal sehingga detik terakhir perlawanan sekaligus memastikan kemenangan buat anak buah Ulisses Morais. 

Skuad Harimau Selatan dan Lang Merah akan berentap di dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2017 pada 4 Nov ini.

Lihat Komen