malaysiakini logo
story-image
ADS

Juara dunia Muhammad Ziyad Zolkefli mempamerkan persembahan memukau untuk mengekalkan pingat emas buat kali keempat berturut-turut dalam acara lontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran) pada Sukan Para ASEAN (APG) KL2017 di Kuala Lumpur, hari ini.

Sokongan padu yang diberikan sebahagian besar penonton tempatan di Stadium Nasional Bukit Jalil ternyata membakar semangat pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016 itu, yang melakukan lontaran sejauh 16.81m bagi memperbaharui rekod kejohanan miliknya iaitu 15.69m pada edisi 2014 di Myanmar.

Rakan sepasukannya Mohamad Aliff Mohamad Awi meraih pingat perak dengan lontaran 12.79m manakala atlet Thailand Sanepoot Boonkong merangkul gangsa dengan catatan 11.99m.

Catatan 16.81m itu bagaimanapun masih jauh daripada rekod dunia 17.29m, yang dilakar Muhammad Ziyad pada Kejohanan Olahraga Dunia Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) di London, Julai lepas.

Muhammad Ziyad, yang memenangi acara itu sejak APG edisi 2011 di Indonesia, terharu dengan sokongan padu yang diberikan oleh penonton kerana hanya menyasarkan untuk memberikan persembahan yang terbaik di laman sendiri.

"Saya sudah katakan sebelum ini bahawa saya mahu beri yang terbaik kepada keluarga, jurulatih (Mohd Faizol Harun) dan juga penonton yang hadir dan terima kasih kepada mereka yang memberikan sokongan kepada saya selama ini.

"Saya berpuas hati dengan catatan 16.81m kerana saya hanya sasar dapat buat 15-16 meter disebabkan saya sudah keluarkan semua ilmu yang ada ketika beraksi pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, bulan lepas, di mana saya mencatat 17.12m untuk meraih pingat gangsa," jelas anak jati Gombak itu.

Dalam pada itu, Muhammad Ziyad mendedahkan beliau akan meneruskan latihan intensif di bawah pengawasan jurulatihnya bermula November ini bagi merealisasikan hasratnya beraksi buat julung kalinya pada Sukan Asia 2018 di Indonesia.

"Saya akan melihat jadual kejohanan kelayakan ke Sukan Asia 2018 dan saya akan cuba beri yang terbaik pada setiap kejohanan selepas ini untuk mencerahkan peluang saya layak ke Indonesia,” katanya.

-Bernama

Lihat Komen