malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Renang sumbang dua emas
Diterbitkan:  Sep 20, 2017 5:19 PM
Dikemaskini: 9:31 AM
ADS

Skuad renang para negara hanya menambah dua emas pada hari ketiga Sukan Para Asean Kuala Lumpur menerusi Fredden Dawan dan James Wong pada aksi di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Fredden yang merupakan juara bertahan kategori 100 meter (m) gaya bebas lelaki S10 pada edisi lepas di Singapura mempamerkan kuakan bertenaga untuk memperbaharui rekod sendiri dengan melakukan 4 minit 48.35 saat.

Pingat perak diraih Steven Luang dari Indonesia yang ketinggalan 13.24s di belakang Fredden manakala P. Suphat dari Thailand hanya mampu berpuas hati dengan pingat gangsa.

James Wong yang meraih pingat gangsa semalam, tidak rela berputih mata lagi hari ini apabila beliau mempamerkan aksi meyakinkan seawal renangan dengan mendahului hingga ke garisan penamat sekali gus menjuarai emas kategori 100m kuak kupu-kupu lelaki S8.

Pingat perak acara itu menjadi milik perenang Filipina, Ernie Gawlan, ketinggalan 6.92s manakala gangsa diraih atlet Vietnam, Nguyen Quang Vuong yang melakukan catatan masa 1:23.63s.

Hasrat Julius Jaranding untuk merangkul emas tidak kesampaian apabila beliau terpaksa tunduk kepada perenang dari Indonesia, Marinus Melianus yang nyata dalam kelas tersendiri dengan catatan 1:14.7s iaitu 5.94 saat di depan Julius.

Pingat gangsa diraih atlet Vietnam, Nguyen Van Hanh dengan catatan masa 1:22.33s.

Satu lagi pingat perak negara diraih oleh pasukan 4x100m lelaki S14 yang gagal menyaingi kehebatan perenang Indonesia yang melakukan 4:01.97s.

Pingat gangsa menjadi milik Thailand dengan catatan masa 4:29.87s.

Sementara itu, Mohamad Adib Iqbal Abdullah menutup hari ketiga kontinjen negara di kolam renang dengan menyumbang satu pingat gangsa dalam kategori 100m Kuak Dada S14.

Pingat emas dan perak acara itu diraih atlet dari Indonesia iaitu Muhammad Samsi dan Irfan Septiana masing-masing dengan catatan masa 1:16.26s dan 1:16.41s.

-Bernama

Lihat Komen