malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Sukan
Afiq sumbang dua emas untuk negara
Diterbitkan:  Sep 17, 2017 4:40 PM
Dikemaskini: 8:51 AM
ADS

Atlet berbasikal para negara Muhammad Afiq Afify Rizan tidak menyangka mampu menyumbang dua emas kepada kontinjen negara pada hari pertama acara trek Sukan Para ASEAN Ke-9 (APG) Kuala Lumpur 2017 di Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan.

Muhammad Afiq Afify, 21, yang merupakan pemenang pingat gangsa Kejohanan Berbasikal Trek Para di Los Angeles, Amerika Syarikat Mac lepas, meraih emas dalam acara Pecut (B) Lelaki dan Kilometer (B) Lelaki.

“Saya berasa bangga kerana kedua-dua acara itu memang saya sasarkan emas,” katanya kepada pemberita selepas acara penyampaian pingat di Nilai, hari ini.

Ditanya sama ada saingan hari ini terlalu mudah baginya, Muhammad Afiq Afify berkata ia tidak pernah memandang mudah sesuatu pertandingan.

“Tidak juga sebab Afiq tidak pernah lagi berjumpa dengan mereka (pelumba trek para negara lain) dan inilah kali pertama,” katanya.

Selain dua acara itu, beliau turut menyertai acara 4000 Meter Kejar-Mengejar Individu (B) Lelaki yang akan berlangsung esok.

Sementara itu, pemenang pingat emas acara Kilometer (C4) Lelaki Mohd Najib Turano, 30, berkata pingat yang diperolehnya hari ini adalah sebagai pembakar semangat rakan senegara yang lain untuk membuktikan kebolehan diri serta menterjemahkan slogan ‘Kita Juara’.

“Saya rasa bangga dapat hadiahkan emas untuk negara kerana inilah kali pertama acara berbasikal dipertandingkan di Para ASEAN. Saya harap medal yang diperoleh ini dapat menyemarakkan semangat juang atlet lain dalam sukan berbasikal atau sukan-sukan lain.

“Saya harap acara ini akan dapat diteruskan di masa-masa akan datang untuk membolehkan orang kurang upaya ini menonjolkan diri di samping sokongan berterusan dapat diberikan kepada kami seperti diterima atlet normal yang lain,” katanya.

Selain acara Kilometer (C4) Lelaki, Mohd Najib juga akan menyertai tiga lagi acara lain iaitu 4000 Meter Kejar-Mengejar Individu (C4) Lelaki , Ujian Masa Individu (C4) Lelaki dan Lebuh raya (C4) Lelaki.

Pada saingan hari ini, skuad berbasikal para negara menyapu bersih tujuh emas daripada tujuh acara yang dipertandingkan.

-Bernama

Lihat Komen