malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN I Bola sepak Kelantan tidak pernah sunyi. Ia sentiasa meniti di bibir para peminat tempatan, baik kawan mahupun lawan.

 

Tanggal 17 September 2017 sekali lagi menjadi detik penting dalam menentukan hala tuju baru Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sekali gus sentuhan terkini terhadap pasukan bola sepak negeri itu.

 

Persoalan kini ialah siapa lebih layak menggantikan Tan Sri Annuar Musa di posisi presiden?

Musim demi musim skuad The Red Warriors ada saja masalahnya. Paling ketara ialah isu kewangan melibatkan kekurangan penaja, beban hutang dan gaji pemain tertunggak.

Justeru, Kongres Kafa yang akan berlangsung di Kota Bharu petang ini pastinya perlu memilih seorang tokoh yang boleh mengatasi masalah yang diwarisi itu dalam tempoh seberapa segera.

Sekarang bukan lagi zaman seseorang pemimpin boleh mengambil masa tertentu untuk mencari jalan menyelesaikan masalah. Dalam konteks pasukan Kelantan khususnya, mereka perlukan ubat dengan kesan kebah segera.

Dalam arus bola sepak moden, keutamaan sukan nombor satu ini ialah sentuhan wang ringgit.

Gaji pemain, jurulatih dan barisan pengelola pasukan memerlukan dana besar yang perlu ditampung setiap pasukan.

Kelantan perlu dipastikan diterajui oleh seorang tokoh sanggup mengorbankan wang ringgitnya, suka atau tidak.

Isu kecekapan pula, ia mungkin tidak perlu terlalu digusarkan. Presiden sepatutnya tidak bekerja seorang diri. Dia akan didampingi timbalan, naib dan ahli jawatankuasa eksekutif yang turut menggalas tanggungjawab.

Presiden juga boleh melantik penasihat yang ada kredibiliti dan tahu selok-belok bola sepak untuk memberi suatu pencerahan pengurusan.

Sekali lagi ditegaskan, kemandirian Kafa untuk sekurang-kurangnya stabil dan menjadi pasukan digeruni seperti musim-musim terdahulu bergantung kepada wang.

Ketika musim liga Malaysia 2017 menuju penghujungnya, penyokong pasti tidak mahu melihat prestasi sekarang terus membelenggu pasukan kesayangan mereka yang berisiko untuk turun ke liga divisyen kedua.

Selepas senarai pencalonan awal melibatkan mengunduran beberapa nama, kini dua calon akhir akan menjadi perkiraan perwakilan untuk memilih bakal presiden Kafa.

Usahawan Bibi Ramjani Ilias Khan atau bekas naib presiden Kafa, Datuk Mohamd Nasir Hamzah?

Kedua-dua calon ini tentu sudah membuat persediaan sebelum menyahut cabaran itu.

Kesanggupan untuk mencari penaja bagi menyalurkan dana ke kantung kewangan Kafa adalah hal kedua. Keutamaan sekarangan ada kesanggupan menghanguskan wang sendiri sebagai modal awal.

Perwakilan yang terdiri daripada ahli gabungan Kafa perlu sedar hakikat tersebut. Di tangan mereka kini jawapan kepada prestasi skuad Kijang di masa mendatang.

Justeru, Bibi atau Nasir untuk Kafa? Selamat berkongres.

 

Lihat Komen