malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Kerenah Pyongyang turut ganggu aktiviti sukan
Diterbitkan:  Sep 15, 2017 5:43 PM
Dikemaskini: 10:22 AM
ADS

Ujian peluru berpandu Pyongyang bukan saja menyebabkan suasana politik makin berkocak, malah ia turut mengganggu dunia sukan.

Di Jepun, pusingan kedua Kejohanan Golf Terbuka ANA di Sapporo, Hokkaido terpaksa ditangguhkan hari ini. Semuanya gara-gara peluru berpandu itu yang terbang melintasi ruang udara negara berkenaan.

Peluru berpandu itu dilaporkan terbang pada ketinggian lebih 750 kilometer dan sejauh lebih 3,200km sebelum jatuh ke laut di luar Hokkaido.

Pemain ke-491 dunia, Matthew Griffin, berkata penangguhan pertandingan kerana ujian peluru berpandu adalah pengalaman pertama dirinya selama ini.

Bercakap kepada stesen radio Melbourne, Griffin, 34, berkata pemain yang menyertai kejohanan terbuka itu mengetahui penangguhan berkenaan selepas bangun tidur pagi tadi.

"Ada mesej teks ringkas diterima melalui telefon yang menyatakan Korea Utara melakukan ujian peluru berpandu.

"Penganjur memberitahu pertandingan berkenaan ditangguhkan sementara dan keputusan lanjut akan dibuat kemudian," katanya.

Bagaimanapun Griffin berkata dia bersyukur kerana peluru berpandu berkenaan hanya lalu di udara Hokkaido pada jarak yang agak tinggi.

"Sejak beberapa bulan lalu saya rasa ketegangan meningkat dan anda sentiasa berdoa tiada yang buruk-buruk berlaku," katanya.

Selain Griffin turut mengambil bahagian dalam kejohanan itu ialah dua daripada pemain nombor 100 dunia, Hideto Tanihara dan Yuta Ikeda.

Lihat Komen