Fatehah terima anugerah tokoh kemerdekaan

(Dikemaskini )

Atlet lumba basikal negara Fatehah Mustapa menerima Anugerah Tokoh Kemerdekaan peringkat Dewan Undangan Negeri Kuala Berang malam tadi.

Anak jati Kampung Langgar, Kuala Berang ini melahirkan rasa syukur dengan anugerah itu.

"Syukur Alhamdulillah dan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Berang, Datuk Tengku Putera Tengku Awang sebab sudi memilih saya bersama yang lain sebagai Tokoh Kemerdekaan. Lebih bermakna ia adalah sempena kemerdekaan ke-60 Malaysia.

"Ini adalah satu penghargaan kepada saya dan keluarga sebagai anak jati Kuala Berang. Satu penghormatan boleh berdiri dengan mereka yang lain yang memperjuangkan kemerdekaan yang diberi anugerah.

“Saya menunda penerbangan saya ke Australia malam ini (malam tadi) untuk hadir ke anugerah ini," katanya kepada pemberita di majlis itu.

Dua lagi tokoh turut menerima anugerah itu.

Fatihah merupakan pemenang empat pingat emas acara berbasikal Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Fatehah dijangka berlepas ke Australia bagi menyertai sesi latihan sebagai persiapan menghadapi kejohanan berbasikal di Bangkok awal bulan depan.

-Bernama