malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
KJ cabar atlet Para lepasi sasaran 103 emas
Diterbitkan:  Sep 12, 2017 8:39 AM
Dikemaskini: 12:43 AM
ADS

SUKAN PARA ASEAN | Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mencabar kontinjen negara ke Sukan Para Asean bermula 17 hingga 23 Sept ini untuk berjuang habis-habisan bagi melepasi sasaran 103 pingat emas, sekali gus muncul juara keseluruhan di laman sendiri.

Beliau yakin kontinjen negara untuk temasya dwitahunan bagi atlet kelaianan upaya itu mampu merealisasikan impian tersebut berdasarkan persiapan rapi semua pihak, termasuk atlet, jurulatih dan persatuan-persatuan sukan.

Bercakap pada perhimpunan akhir kontinjen negara di Kuala Lumpur semalam, Khairy turut mahu kontinjen negara yang dibarisi atlet berpengalaman dan pelapis menjadikan kelainan upaya mereka sebagai kekuatan dan sumber inspirasi untuk melakar kejayaan.

“Bagi atlet muda pelapis negara pula, inilah platform terbaik anda untuk menunjukkan keupayaan, seterusnya memacu diri untuk layak menyertai temasya serta pertandingan tertinggi di peringkat dunia pula.

"Janganlah Sukan Para Asean 2017 ini menjadi penyertaan pertama dan terakhir anda. Berikan yang terbaik dan buktikan kewibawaan masing-masing.

“Pencapaian kita di Sukan Para Asean kali ini juga akan menjadi kayu pengukur kepada persediaan kontinjen negara mempersiapkan diri ke temasya Sukan Komanwel Atlet Elit Kelainan Upaya (EAD) dan Sukan Para Asia pada tahun depan,” katanya.

Pada edisi Singapura dua tahun lepas, kontinjen negara menamatkan saingan di tempat ketiga keseluruhan selepas merangkul 52 pingat emas, 58 perak dan 37 gangsa.

Khairy, yang menyerahkan Jalur Gemilang kepada 16 wakil sukan yang terlibat, turut berharap kejayaan kontinjen negara pada Sukan SEA bulan lalu yang melepasi sasaran 111 pingat emas untuk muncul juara mampu meningkatkan semangat juang atlet terbabit.

“Jadi kali ini pula adalah giliran kontinjen Para untuk membuktikan bahawa saudara-saudari boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan kontinjen Sukan SEA yang lalu,” katanya.

Kontinjen negara terdiri daripada 326 atlet dan 167 pegawai, akan menyertai 289 acara daripada 16 jenis sukan, termasuk olahraga, catur, memanah, berbasikal, bola sepak CP, tenpin boling dan bola keranjang kerusi roda.

Khairy turut menyeru orang ramai hadir memberikan semangat dan sokongan kepada wira-wira negara seperti Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Abdul Latif Romly dan Muhammad Ziyad Zolkefli yang telah mengharumkan nama negara di peringkat Paralimpik.

- Bernama

Lihat Komen