Jangan lepas peluang ke acara pembukaan Para Asean


(Dikemaskini )

Peminat sukan tanah air boleh menyaksikan acara gilang gemilang pembukaan Sukan Para ASEAN Kesembilan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 17 September ini secara percuma.

Namun mereka yang berminat perlu mendapatkan pas masuk ke upacara pembukaan itu sebagai langkah keselamatan untuk mengawal kemasukan dan agihan tempat duduk di dalam stadium, kata Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, setiap individu layak mendapatkan maksimum 10 pas masuk dan orang ramai boleh mendapatkannya secara atas talian www.kualalumpur2017.com.my atau di kaunter tiket di Stadium Nasional.

Kaedah atas talian bermula 11 September hingga pukul 12 tengah hari 16 September ini, dan pas masuk perlu dimuat turun dan dicetak untuk dibawa bersama ke stadium.

Bagi pengambilan sendiri di stadium, kaunter dibuka pada 16 Sept ini bermula pukul dua hingga enam petang, dan pada 17 September bermula 12 tengah hari hingga enam petang.

Sukan Para ASEAN Kesembilan menawarkan 368 pingat emas daripada 16 acara sukan yang dipertandingkan, dan akan berlangsung pada 17 hingga 23 September ini.

-Bernama