Annuar, 4 calon lain dinamakan ketuai Kafa

(Dikemaskini )

Seramai empat calon akan mencabar Tan Sri Annuar Musa dalam perebutan jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) semasa kongres kali ke-43 pada 17 September ini. 

Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Md Noor, berkata pihaknya menerima lima pencalonan bagi jawatan itu termasuk Annuar yang sebelum ini pernah menduduki jawatan berkenaan.

Selain Annuar,  kata Ismail, empat calon lain terdiri daripada Datuk Mohamad Nasir Hamzah, Datuk Rosmadi Ismail, Datuk Ir Shaari Hassan dan Bibi Ramjani Ilias Khan. 

"Seramai lima orang telah dicalon oleh ahli-ahli gabungan untuk jawatan presiden dan empat calon timbalan presiden. 

"Seramai 13 calon telah diketengahkan oleh persatuan-persatuan bola sepak jajahan (PBJ) untuk jawatan naib presiden menyaksikan kemunculan bekas pemain bola sepak, tokoh-tokoh koporat, pentadbir, ahli politik dan sebagainya," katanya dalam kenyataan kepada media hari ini. 

Terdahulu,  Jawatankuasa Eksekutif Kafa memilih untuk mengadakan pemilihan pada kongras kali ini bagi menentukan kepimpinan baru persatuan itu. 

Sebelum ini jawatan presiden Kafa dikosongkan oleh Annuar yang memilih untuk melepaskan jawatan tersebut. Sejak itu jawatan berkenaan terbiar kosong sehingga kini. 

Ismail berkata, bagi jawatan Jawatankuasa Eksekutif Kafa pihaknya menerima pencalonan seramai 30 orang melalui PBJ.

"Kedudukan mereka ini akan ditentukan oleh seramai 52 orang perwakilan yang terdiri daripada ahli-ahli gabungan Kafa.

"Ia terdiri daripada 10 persatuan bola sepak jajahan bersama 50 wakil, Persatuan Bola Sepak Melayu (1 wakil) dan Persatuan Bola Sepak Cina Kelantan (1 wakil)," jelasnya. 

Bagaimanapun tambah beliau, tokoh yang sudah dicalonkan oleh PBJ perlu hadir dan mengesahkan pencalonan pada atau sebelum 14 September jam 5 petang.

"Kegagalan berbuat demikian membolehkan Sekretariat Agung menganggap pencalonan mereka ditolak.

"Bagi calon-calon yang telah membuat pengesahan penerimaan, mereka ini boleh juga menarik diri sebelum tarikh tersebut, " kata Ismail.