malaysiakini logo
story-image
ADS

Biarpun berehat lama kerana mengalami masalah kesihatan yang agak serius, namun cintanya pada sukan angkat berat membuatkan atlet paralimpik kebangsaan, Sharifah Raudzah Syed Akil berjaya melawan kesakitan untuk sembuh dan kini kembali berjuang demi negara.

Bakal membawa cabaran negara dalam acara angkat berat (powerlifting) kategori 86 kilogram di Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur pada 17 hingga 23 September ini, Sharifah menyifatkan kepulangannya kali ini sebagai perjuangan yang belum selesai.

“Selepas menjalani rawatan dan berehat secukupnya, saya rasa terpanggil untuk kembali membuat penampilan semula kerana rasa cinta yang menebal terhadap sukan ini.

“Kepulangan ini juga adalah hasil dorongan yang tidak berbelah-bahagi yang diterima daripada rakan-rakan serta keluarga dan itu yang membuatkan saya bertekad untuk kembali mencurahkan tenaga dan berbakti kepada negara,” katanya kepada Bernama selepas sidang media program Kita Juara di Kuala Lumpur hari ini.

Sharifah dikesan mempunyai ketumbuhan dalam rahim sebaik selesai menyempurnakan tugasan mewakili negara di dalam Sukan Paralimpik London 2012 yang memaksa beliau untuk berehat dan menerima rawatan.

Berbaki sembilan hari lagi sebelum upacara rasmi pembukaan temasya dwitahunan itu, Sharifah terus memasang impian untuk menyumbangkan kilauan emas buat kontingen negara.

“Kali ini bermain di tanah air sendiri, saya rasa ia satu penghormatan untuk membalas kembali jasa Majlis Paralimpik Malaysia, Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara yang bertungkus-lumus memastikan kami atlet para mendapat kemudahan yang sebaiknya.

“Jadi untuk membalas jasa baik itu, saya letakkan tugas saya di Sukan Para ASEAN kali ini sebagai satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan cemerlang,” kata ibu berusia 44 tahun itu.

Dalam pada itu, Sharifah turut mengenal pasti siapa lawannya nanti yang bakal menggugat impiannya untuk meraih emas dan menurut beliau atlet dari Singapura merupakan saingan yang paling hebat sambil tidak menidakkan keupayaan atlet dari Indonesia dan Filipina.

Sementara itu, Ketua Jurulatih, Adam Jamil menyasarkan sebanyak tiga pingat emas dari anak buahnya.

“Sasaran ini realistik dan ia berpandukan kepada kekuatan sebenar atlet yang kita miliki sekarang ini,” katanya.

Untuk rekod, skuad angkat berat para negara turut memperoleh tiga emas pada edisi dua tahun lalu di Singapura.

-Bernama

Lihat Komen