Langgar atlet paralimpik, peniaga didakwa pandu berbahaya


(Dikemaskini )

Pemandu Toyota Hilux yang didakwa terlibat dalam kemalangan membabitkan empat atlet berbasikal paralimpik Malaysia dan ketua jurulatih semalam, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Selangor hari ini.

Anuar Wahab, 46, didakwa atas tuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya.

Peniaga yang berasal dari Jengka, Pahang, itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Abdul Jalil Salam.

Mengikut pertuduhan, dia yang memandu pacuan empat roda jenis Toyota Hilux bernombor pendaftaran "CCY8590" didakwa memandu kenderaan itu secara merbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di KM12.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) kira-kira 10.45 pagi semalam.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan boleh dikenakan denda minimum RM5,000 dan maksimum RM15,000, jika sabit kesalahan.

Abdul Jalil membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM5,000 serta seorang penjamin, dan menetapkan 16 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu melapor diri di balai polis berdekatan pada hari pertama setiap bulan sehingga kes selesai.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mahmoodah VM Abdul Latif yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan supaya tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM10,000.

Namun peguam M Saravanan yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menetapkan ikat jamin RM2,000 atas alasan jumlah yang dicadangkan pihak pendakwaan di luar kemampuan keluarga anak guamnya.

"Anak guam saya mempunyai tanggungan seorang isteri yang tidak bekerja dan empat orang anak, yang mana anak sulungnya akan mendaftar di sebuah universiti awam di Melaka pada Isnin ini," katanya.

Dalam kemalangan itu, Ketua Jurulatih Mohd Johari Nayan, 42, dua atlet paralimpik ASEAN Mohd Hairul Hazwan Wahab, 25, dan Muhammad Khairul Nizam Mohd Ali, 19, serta dua ‘pilot rider’ iaitu Mohd Nor Rizuan Zainal, 31, dan Muhamad Nur Syafiq Suhaimy, 25, dirempuh di lebuh raya itu.

Ketika kejadian, empat atlet itu sedang berbasikal sambil diiringi Mohd Johari yang bermotosikal dari arah Ijok, Kuala Selangor menghala ke Rawang sebagai latihan persediaan bagi menghadapi temasya Sukan Paralimpik ASEAN Kuala Lumpur 2017 pada 17 hingga 23 September ini.

-Bernama