malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Sukan
Pelarian rai kemenangan Syria, kecam Bashar
Diterbitkan:  Sep 7, 2017 8:00 PM
Dikemaskini: Sep 11, 2017 10:44 AM
ADS

Kejayaan pasukan bola sepak Syria ke peringkat playoff kelayakan piala dunia dua hari lalu disambut meriah rakyat negara itu.

Ia menjadi lebih manis memandangkan negara itu masih bergelut dengan peperangan, dan mereka tidak pernah layak ke kejohanan berprestij itu sebelum ini.

Dengan keputusan seri 2-2 menentang Iran, Syria akan menentang Australia pada bulan depan dan jika berjaya, berhadapan dengan pasukan dari Concacaf (Amerika Utara, Tengah dan Caribbean) untuk menempah tempat ke pusingan akhir di Rusia tahun depan.

Namun menurut laporan The Guardian 6 September, lain ceritanya dengan pelarian negara itu yang menyambut berita tersebut dengan perasaan bercampur-baur.

Pada satu sisi, mereka berbangga memandangkan Syria bukanlah kuasa bola sepak di Asia mahupun timur tengah.

Namun pada sisi lain, mereka tidak dapat menerima tindakan kerajaan pimpinan Bashar Al-Assad yang bagi mereka menumpang populariti pasukan bola sepak Syria untuk meningkatkan sokongan terhadap mereka.

"Anda melihat video anak Bashar, Hafez? 'Kami bersama anda, bangga dengan anda.' Kelakar, saya tidak ingat bilakah regim memberikan sokongan kepada pasukan sebelum ini.

"Kebanyakan pemain hanya mendapat bayaran kecil setiap bulan. Kini regim mengangkat pemain seperti wira walaupun sebenarnya tidak peduli pada sukan, apatah lagi pasukan," kata pelarian yang hanya mahu dikenali sebagai Tareq, seperti dipetik.

Namun beliau tetap berbangga dengan pencapaian tersebut, apatah lagi dengan segala kekurangan dari segi kewangan dan kemudahan berlatih yang terpaksa dihadapi pemain.

"Mereka berjaya pergi sejauh ini...Ia sesuatu yang dapat menyatukan rakyat Syria, tetapi memang sukar untuk mengenepikan kerajaan (yang mempolitikkannya)," katanya yang lari ke Beirut, Lubnan, bersama keluarganya apabila perang tercetus pada 2011.

Menurut laporan itu lagi, skrin besar dipasang di ruang awam sekitar ibu kota Syria, Damsyik, dan ribuan rakyat mengibarkan bendera sepanjang perlawanan berlangsung.

Sebaik sahaja wisel penamat dibunyikan, ribuan pula memenuhi jalan raya bagi merayakan keputusan itu.

Hashem, rakan Tareq yang juga seorang pelarian, pula menyifatkan tindakan kerajaan itu menunjukkan bagaimana regim mengawal dan menggunakan setiap aspek kehidupan rakyat untuk kepentingan mereka.

"Namun saya tetap menyokong pasukan, pemain hanya bermain bola, bukannya senjata.

"Biarkan sahaja kerajaan dengan helah jijik yang kononnya (kejayaan ini) tentang kesatuan dan negara dalam keadaan biasa. Saya tidak boleh cakap yang saya tidak bangga dengan kemenangan ini," katanya.

Lihat Komen