malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Huzairi harap tuah gelanggang sendiri
Diterbitkan:  Sep 7, 2017 6:36 PM
Dikemaskini: 10:38 AM
ADS

Pemain badminton paralimpik kebangsaan Mohamad Huzairi Abd Malik mengharapkan tuah beraksi di gelanggang sendiri apabila bertanding buat kali keempat di temasya Sukan Para ASEAN untuk meraih pingat emas buat kontinjen negara.

Mohamad Huzairi berkata beraksi di hadapan penyokong sendiri dengan mendapat sorakan gemuruh akan memberi lebih keyakinan dan semangat kepadanya untuk mempersembahkan prestasi terbaik demi mengejar pingat yang menjadi idamannya sejak tiga edisi lepas.

Mohamad Huzairi, 27, menyertai temasya dwitahunan itu sejak 2009 (Kuala Lumpur), dan 2011 (Indonesia) namun pulang dengan tangan kosong manakala edisi dua tahun lepas di Singapura, beliau berjaya meraih pingat gangsa dalam acara perseorangan.

"Sukan Para ASEAN kali ini apabila bermain di hadapan penonton sendiri akan memberi lebih keyakinan dan sorakan penonton pastinya memberi semangat buat saya semasa beraksi nanti.

"Penampilan keempat ini memang saya sasarkan pingat emas kerana mahu buktikan kepada seluruh rakyat Malaysia yang saya mampu membutirkan pingat emas buat kontingen negara," katanya kepada pemberita selepas sidang media program 'Kita Juara' di Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, Pengurus Skuad Badminton Paralimpik Kebangsaan, Dr Naharuddin Hashim berkata seramai 26 pemain akan membawa cabaran negara dalam 14 acara di Sukan Para ASEAN kali ini.

Naharuddin turut menyasarkan sekurang-kurangnya empat pingat emas bakal disumbangkan oleh skuad para badminton kebangsaan.

"Daripada 14 acara yang dipertandingkan, kita mengharapkan sebanyak empat atau lima pingat emas yang kita rasa kita boleh capai.

"Sekiranya kita memberi tumpuan yang lebih dalam masa dua minggu terakhir ini, saya percaya kita boleh mendapat lebih daripada empat yang menjadi sasaran," katanya.

Untuk rekod, skuad para kebangsaan memperoleh tiga pingat emas pada Sukan Para ASEAN di Singapura, dua tahun lepas.

- Bernama

Lihat Komen