malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Sukan
Ketua jurulatih, 4 atlet berbasikal cedera dirempuh
Diterbitkan:  Sep 7, 2017 3:40 PM
Dikemaskini: 7:57 AM
ADS

Empat atlet berbasikal Malaysia termasuk dua atlet Para ASEAN dan ketua jurulatih cedera selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Lebuh raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) dekat Shah Alam pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supt Ruslan Abdullah berkata kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 10.45 pagi ini di Km 12.6, ketika mereka berbasikal dari arah Ijok, Kuala Selangor menghala ke Rawang.

Beliau berkata mereka kini menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Sungai Buloh.

Berdasarkan maklumat awal, pemandu kenderaan itu disyaki sedang cuba menukar lorong untuk menuju ke Bandar Tasik Puteri, Rawang apabila tiba di lokasi itu dan dilaporkan bergegas meninggalkan tempat kemalangan selepas itu, katanya ketika dihubungi.

Ruslan berkata ketika kejadian cuaca baik dan keadaan lalu lintas juga lancar.

Beliau berkata polis sedang mengenal pasti pemandu pacuan empat roda itu menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Paralimpik, Majlis Sukan Negara (MSN) Safrul Sahar berkata mereka yang terlibat ialah Ketua Jurulatih Mohd Johari Nayan, dua atlet Para ASEAN Mohd Hairul Hazwan Wahab dan Muhammad Khairul Nizam Mohd Ali manakala dua lagi “pilot rider” iaitu Mohd Nor Rizual Zainal dan Muhamad Nur Syafiq Suhaimy.

Menurut Safrul, kesemua mereka sedang menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi temasya Sukan Para ASEANn Kuala Lumpur 2017 yang dijadual pada 17 hingga 23 September ini.

"Kesemua mereka dilaporkan dalam keadaan stabil. Ketua jurulatih sedang menerima rawatan pesakit luar, dua pilot rider sedang menerima rawatan lanjut manakala dua atlet Para pula masih menjalani pemeriksaan doktor.

"Saya dimaklumkan ketika kejadian, mereka sudah hampir hendak menamatkan sesi latihan pagi ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sesi latihan itu juga berlangsung mengikut prosedur keselamatan yang ditetapkan iaitu menggunakan pengiring terdiri daripada motosikal dan van.

Menurutnya MSN telah membuat laporan mengenai kejadian dan tentang pemandu kenderaan pacuan empat roda yang dilaporkan tidak berhenti selepas kemalangan itu.

- Bernama
 

Lihat Komen