malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Penyudah lemah nafi kemenangan Harimau Malaya
ADS

Malaysia boleh menang dalam aksi pusingan kelayakan Piala Asia 2019 menentang Hong Kong semalam apabila menguasai permainan dan mencipta banyak peluang, kata ketua jurulatih Malaysia Nelo Vingada.

Namun kata jurulatih kelahiran Portugal itu, penyudah yang lemah dan kesilapan pemain menafikan kemenangan itu.

Beliau berkata, itulah nasib malang yang perlu diterima oleh Harimau Malaya apabila banyak melakukan percubaan di depan gawang tetapi tidak menghasilkan gol, namun berpuas hati dengan peningkatan pasukan itu.

"Penyudah dan kesilapan yang dilakukan mengecewakan kita tetapi malam ini kita mencipta banyak peluang dan menguasai permainan.

"Ia banyak menunjukkan peningkatan dan saya benar-benar percaya kita sepatutnya menang malam ini," katanya pada sidang media di Melaka semalam.

Malaysia seri 1-1 dengan Hong Kong dalam aksi yang berlangsung di Stadium Hang Jebat.

Vingada berkata, sebagai persediaan untuk perlawanan menentang Korea Utara, beliau akan memberi tumpuan untuk meningkatkan mentaliti pemain kerana ia akan menjadi perlawanan yang sangat sukar di tempat lawan pada 5 Oktober nanti.

Dalam menyediakan pasukan untuk perlawanan seterusnya, beliau dan pasukannya akan menilai dan menurunkan pemain-pemain muda terutama skuad bawah 22 Tahun Sukan SEA.

Ketika ditanya mengenai langkah Hong Kong menurunkan tujuh pemain naturalisasi dalam pasukan mereka, Vingada berkata terpulang kepada pasukan untuk membariskan pemain mengikut peraturan FIFA.

"Jika ia mematuhi peraturan itu, biarkanlah tetapi bagi kita di Malaysia, kita tetap menurunkan pemain yang mempunyai warisan Malaysia, kita mahu membangunkan pemain-pemain Malaysia," kata beliau.

-Bernama

Lihat Komen