malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Di Mekah, Haji Demba Ba gesa dunia bela Rohingya
Diterbitkan:  Sep 5, 2017 4:23 PM
Dikemaskini: 8:43 AM
ADS

Bintang bola sepak Demba Ba menggesa umat Islam seluruh dunia membela nasib golongan Rohingya, di saat konflik di Rakhine, Myanmar kembali tegang.

Menurut laporan portal Turki Daily Sabah yang memetik agensi berita negara itu Anadolu dua hari lalu, penyerang kebangsaan Senegal dan bekas pemain Chelsea itu menyifatkan masyarakat antarabangsa memikul tanggungjawab besar terhadap apa yang berlaku di wilayah bergolak itu.

"Setiap orang melihat dan tahu apa yang berlaku namun tiada seorang pun yang benar-benar bertindak dan bersuara untuk menghentikan kezaliman di sana," katanya kepada pemberita ketika menunaikan ibadah haji di Mekah.

Menurut laporan BBC hari ini, lebih 123,000 etnik Rohingya melarikan diri daripada kampung halaman mereka berikutan ketegangan yang meletus sejak 25 Ogos lalu antara pemberontak dan tentera.

Ba turut memuji usaha Turki dalam isu itu, menyifatkan tiada negara lain yang benar-benar berusaha seperti Turki dalam membantu umat Islam Rohingya.

Dalam satu kenyataan tegas 2 September lalu, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan menyifatkan Myanmar menjalankan 'pembersihan etnik' terhadap golongan Rohingya, dan berkata akan membawa isu itu ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York hujung bulan ini.

Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu pula sekali lagi menggesa Bangladesh agar membuka sempadan mereka kepada pelarian Rohingya, malah berkata Turki akan menanggung keseluruhan kos yang diperlukan.

PBB menyenaraikan Rohingya sebagai golongan masyarakat paling tertindas di dunia.
 

Lihat Komen