malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Sarawak boleh jadi kuasa besar sukan lebih awal
ADS

Sarawak bertekad untuk muncul sebagai kuasa besar sukan dan kini hampir pasti menjadikannya suatu kenyataan, kata Menteri Kebudayaan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

“Sarawak akan menjadi kuasa besar sukan yang berikutnya di negara ini lebih awal dari yang dijangkakan, seandainya kita terus sama-sama bekerja keras untuk mencapai kejayaan paling besar dalam bidang sukan.

“Kita boleh menjadi negeri yang paling hebat dalam sukan jika kita berkongsi wawasan itu bersama-sama dengan kesemua persatuan sukan tempatan kita, olahragawan dan olahragawati kita,” kata Abdul Karim ketika berucap pada majlis penyampaian Anugerah Sukan Sarawak 2015/2016 di Sarawak malam tadi.

Beliau percaya wawasan itu boleh menjadi kenyataan disebabkan Sarawak telah pun membuktikan keupayaan mereka dengan menjadi juara Sukan Malaysia (Sukma) tiga tahun berturut-turut iaitu pada 1990, 1992 dan 1994.

Abdul Karim berkata kementeriannya menerusi Perbadanan Sukan Sarawak dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Sarawak merangka beberapa inisiatif dengan matlamat untuk terus melatih serta memberi motivasi kepada atlet tempatan.

 

“Malah Sarawak mempunyai beberapa atlet yang berjaya memperbaharui rekod kejohanan dan pada temasya Sukan SEA 2017 (KL2017) di Kuala Lumpur baru-baru ini kita dapat saksikan kebolehan atlet Sarawak melakukannya,” katanya.

Dalam KL2017, atlet Sarawak menyumbang 13 daripada 145 pingat emas yang diraih Malaysia, selaku juara keseluruhan temasya itu.

Abdul Karim berkata penganjuran semula Sukan Sarawak (SUKSAR) merupakan satu lagi inisiatif kerajaan negeri untuk terus meningkatkan kedudukan Sarawak sebagai kuasa besar sukan di negara ini.

Katanya kali terakhir SUKSAR diadakan adalah 26 tahun lepas dan temasya dari 14 hingga 17 Dis itu dengan Kuching selaku tuan rumah adalah tepat pada masanya memandangkan SUKSAR dijangka menjadi temasya sukan terbesar di Sarawak selain menjadi pentas terbaik kepada kalangan atlet untuk beradu kehebatan masing-masing.

Mengenai majlis anugerah sukan itu, Abdul Karim berkata anugerah dwi tahunan oleh kerajaan negeri menerusi MSN itu bertujuan memberi pengiktiran kepada olahragawan dan olahragawati terbaik, individu, persatuan sukan serta badan berkaitan.

Beliau berkata bagi Anugerah Sukan Sarawak 2015/ 2016, penganjur menerima jumlah penyertaan dan pencalonan yang semakin meningkat iaitu 160 penyertaan bagi 16 kategori anugerah.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg menyampaikan anugerah kepada pemenang.

- Bernama

Lihat Komen