malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

ULASAN I Ketika perlawanan bola sepak Malaysia - Singapura di peringkat kumpulan Sukan SEA 2017, kami yang hadir ke stadium ketika itu menyedari bahawa jiwa yang memberikan makna dalam perlawanan bukan hanya melibatkan 22 pemain di tengah padang, bahkan sekumpulan penyokong yang tidak henti bersorak dan bergendang di satu sudut stadium.

Digelar 'Ultras Malaya' (Ultras), pasukan penyokong ini tidak duduk diam seperti penyokong di sudut-sudut lain ketika Malaysia tertinggal 0-1 di separuh masa pertama.

Bahkan tidak keterlaluan untuk disebut, kemampuan skuad kendalian Ong Kim Swee mengejar dan memenangi perlawanan itu adalah hasil paluan gendang dan sorakan ultras yang konsisten sepanjang 90 minit perlawanan.

Habis perlawanan, kemas saya menitipkan azam, jika berpeluang ke stadium untuk perlawanan separuh akhir atau perlawanan akhir nanti - susah bagaimanapun - saya mahu duduk di bawah banner besar tertulis 'Ultras Malaya'. Mahu merasai sendiri semangat dan jiwa penyokong-penyokong setia ini hingga mampu memberikan warna pada keseluruhan mood di dalam dan di luar stadium.

Peluang itu sampai. Bersama seorang rakan, kami akhirnya dapat berdiri bersama-sama ultras sepanjang perlawanan separuh akhir Malaysia - Indonesia.

Mengagumkan! Jujur saya akui, ia adalah pengalaman paling bermakna dan tidak ternilai harganya.

Cakap-cakap bahawa Ultras tidak duduk sepanjang perlawanan dan tidak berhenti bersorak itu berlaku depan mata dan kami - sebagai orang baru - bersama-sama melunaskan 'rukun' tersebut.

Apa yang menarik sepanjang perlawanan Malaysia - Indonesia, jika penyokong-penyokong lain dan di rumah sibuk memberikan komen, makian atau apa sahaja tentang corak permainan di tengah padang, situasi tersebut tidak berlaku di sudut Ultras.

Paluan gendang, sorakan semangat

Ultras hanya fokus memberikan paluan gendang dan sorakan semangat. Kalau tidak silap, sekurang-kurangnya 5 jenis 'lagu sorak' yang kami jeritkan pada malam tersebut.

Disiplin kumpulan ini benar-benar merindingkan bulu roma saya. Seorang pakcik pertengahan umur di depan saya telah berdiri daripada awal perlawanan. Langsung tidak mahu duduk.

Berdiri sambil berpaut pada besi penghalang di hadapan. Sewaktu saya menasihatinya untuk duduk melihatkan keadaan beliau sendiri seolah-olah tidak larat untuk terus berdiri, pakcik tersebut membalas, "Kita berdiri je pun. Player kat tengah padang berlari tak berhenti."

Luar biasa!

Ketika masa perlawanan semakin suntuk dan penyokong lainnya telah memikirkan perlawanan masa tambahan ketika Malaysia - Indonesia masih terikat 0-0, Ultras memberikan dimensi yang amat bertentangan. Paluan gendang dan sorakan semakin riuh dan inspiratif.

Air mata berlinang

Lagu-lagu sorak telah bertukar kepada 'tone' yang menggetarkan jiwa hingga tak sedar air mata mengalir ketika kami menjerit dan berpeluk bersama.

Sorakan semakin padu dan jitu. Kami bersorak dan menghayunkan badan mengikut rentak paluan gendang. Penat, lenguh, ketiadaan suara dan lain-lainnya langsung tidak dirasai.

Kami bersorak dan terus bersorak. Apabila Thanabalan menjaringkan gol tunggal perlawanan, kami menjerit semahunya dan berderai air mata tumpah ke pipi. Seakan-akan itulah detik penghabisan yang paling ditunggu-tunggu.

Malah ketika Indonesia memulakan sepak mula selepas gol itu - ketika penonton lainnya telah reda bersorak - Ultras langsung tidak berhenti, bahkan semakin menggegak-gempita.

Sorakan semakin kuat dan paluan gendang kian bertenaga. Semangat di sudut ini seakan-akan terserap di tengah padang. Permainan skuad Malaysia semakin tersusun dan seluruh cubaan penyerang Indonesia dipatahkan dengan mudah.

Akhirnya, wisel kemenangan dibunyikan dan Malaysia sah berentap dengan Thailand di perlawanan akhir.

Terima kasih Ultras. Anda telah meletakkan satu aras baru tentang kesetiaan dan pengorbanan. Kesetiaan tulen yang tidak menuntut balas. Kesetiaan bersulam pengorbanan. Berkorban segalanya demi negara tercinta.

Ya, Ultras bukan hanya ada ketika menang. Mereka sentiasa ada untuk Malaysia yang satu. Mereka takkan berputus-asa walau apa pun berlaku.

Duhai anak-anak buah Ong Kim Swee, berikan penyokong-penyokong setia ini sebuah kebanggaan. Kebanggaan untuk mereka surahkan buat kemegahan anak dan cucu.


SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

 

Lihat Komen