malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Khairul Hafiz takluk Asia Tenggara dengan emas 100m
ADS

Raja pecut Malaysia, Khairul Hafiz Jantan kini bergelar raja pecut Asia Tenggara selepas merangkul pingat emas 100 meter Sukan SEA 2017, sebentar tadi.

Atlet kelahiran Melaka itu mencatatkan rekod 10.38 saat untuk mengatasi lapan pesaing lain termasuk seorang lagi wakil negara, Jonathan Nyepa.

Saingan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu menyaksikan Khairul Hafiz ,19,  diberi saingan hebat wakil Filipina, Eric Shauwn Cray.

Cray menamatkan lariannya pada kedudukan kedua bersama peserta dari Thailand, Kritsada Namsuwun dikedudukan ketiga dengan masing-masing merekod catatan 10.43 saat.

Jonathan pula terpaksa berpuas hati di tempat kelima dengan catatan 10.66 saat.

Sementara itu sebaik menamatkan pecutannya, Khairul Hafiz kelihatan bersujud dan pastinya air mata lelakinya menitis meraikan kejayaan itu.

Bagaimanapun catatan masa yang diciptanya malam ini masih jauh berbeza daripada rekod kebangsaan yang dicipta bagi memadam rekod bekas atlet negara, Watson Nyambek dengan catatan 10.18 saat.

Ia sekali gus menggagalkan hasratnya untuk memecahkan rekod Sukan SEA milik Suryo Agung Wibobo (10.17s) dari Indonesia yang dicatatkan pada edisi 2009 di Laos tidak kesampaian.

Selain ribuan rakyat Malaysia, turut sama hadir memberi sokongan dan meraikan kejayaan itu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Terdahulu, atlet olahraga wanita negara, Zainatul Husniah Zulkifli meraih pingat perak dalam saingan akhir 100 meter wanita.

Lihat Komen