malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Kembar seiras terkejut raih emas buat Malaysia
ADS

Kembar seiras Muhammad Ameer Ahmad Kamal dan Muhammad Ameen Ahmad Kamal tidak menyangka mampu menghadiahkan emas buat negara, apatah lagi ia merupakan penampilan sulung mereka di pentas Sukan Sea.

Kembar berumur 22 tahun itu yang ditemui pemberita selepas pasukan berbasikal negara diumumkan juara, nyata terkejut dan gembira malah mereka yang digalaskan dengan tanggungjawab berat menghabiskan kayuhan sejauh 51 kilometer dalam acara Ujian Masa Berpasukan menyifatkannya sebagai usaha yang berbaloi.

Selain mereka berdua, skuad berbasikal negara turut dianggotai Nik Mohd Azwan Zulkiflie, 27, dan Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi, 31, yang bertindak selaku ketua pasukan.

“Syukur Alhamdulillah, saya dan (Muhammad) Ameen memang terharu dapat menang pingat emas biar pun ini adalah kali pertama kami berlumba di Sukan Sea. Saya berterima kasih kepada Muhammad Fauzan kerana banyak membantu dan memberi tunjuk ajar kepada kami sama ada ketika latihan atau perlumbaan tadi.

“(Muhammad) Fauzan juga selalu meningatkan kami supaya jangan meninggalkan solat dan sentiasa berlatih bersungguh-sungguh jika mahu berjaya sebagai atlet lumba basikal,”kata Muhammad Ameer.

Diuji sakit perut

Bagi Muhammad Ameen, biarpun mengalami sakit perut tiga hari lepas, semangatnya untuk menghadiahkan pingat untuk kem negara tetap membara.

"Hari ini kesihatan saya baik cuma tiga hari lepas sahaja saya mengalami sedikit sakit perut dan terpaksa menjaga pemakanan,”katanya.

Mengulas pertandingan hari ini, beliau berkata dirinya disuntik motivasi dan semangat apabila dapat bersama-sama mengayuh bersama abang kembarnya dalam pertandingan itu.

"Kalau dia ada, saya lagi semangat, kalau tak ada jadi macam kurang sikit,”katanya sambil menambah bahawa kejayaan meraih emas dalam acara berprestij seperti ini sudah pasti membanggakan keluarganya.

Muhammad Fauzan berkata pengalamannya selama 16 tahun sebagai pelumba basikal telah banyak membantu pasukan dan dirinya untuk meraih emas pada pertandingan hari ini.

"Dengan pengalaman saya, bila saya nampak tahap kelajuan (pasukan) perlahan, saya akan tambah (kelajuan) dan saya tahu di mana kami perlu guna tenaga dan jimat tenaga dan inilah yang menyumbang kejayaan kami,” katanya.

Muhammad Fauzan berkata kali terakhir pasukan negara meraih emas dalam acara tersebut ialah pada Sukan Sea edisi ke-23 pada 2005 di Manila, Filipina.

Untuk rekod, pada edisi ke-27 di Myanmar empat tahun lalu, pasukan negara sekadar meraih pingat perak. Bagaimanapun acara Ujian Masa Berpasukan tidak dipertandingkan pada temasya dwitahunan itu di Singapura 2015.

Sementara itu, jurulatih skuad berkenaan Syed Husaini Syed Mazlan berkata beliau bangga dengan prestasi yang ditunjukkan oleh anak buahnya meskipun di awal pemilihan atlet, terdapat pandangan tidak yakin disuarakan sesetengah pihak.

“Walaupun kita turun sebagai pasukan underdog dan kalau kita tengok pada kombinasi team kita ini memang kita berpuas hati. Saya berterima kasih kepada MSN (Majlis Sukan Negara ) Terengganu yang memberi basikal kepada skuad negara untuk melihat kejayaan berpihak kepada kita.

"Orang percaya saya boleh buat sesuatu dan saya kuat (semangat) kerana bekas jurulatih saya Paidi Ghani banyak membantu saya,” katanya.

Dalam acara Ujian Masa Berpasukan Lelaki, pasukan negara meraih emas selepas menggungguli acara sejauh 51 kilometer dengan catatan masa 1 jam 01 minit 37 saat (1:01:37), Perak milik Thailand dengan catatan masa 1 jam 01 minit 56 saat, iaitu perbezaan 18 saat di belakang Malaysia dan Vietnam di tangga ketiga untuk meraih gangsa dengan masa 1 jam 02 minit.

Seramai sembilan peserta mengambil bahagian dalam acara itu dan kalungan pingat kepada ketiga-tiga pemenang disempurnakan oleh Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Abdul Wahab di Dataran Nilai.
 

Lihat Komen