malaysiakini logo
story-image
ADS

Skuad bola sepak Sukan SEA Malaysia mengesahkan slot ke separuh akhir dengan menewaskan Myanmar 3-1, sebentar tadi.

Terus bertaring! Itulah dapat digambarkan dengan prestasi skuad bawah 22 tahun (B-22) negara pada aksi ketiga Kumpulan A sekali gus mencalarkan rekod tanpa kalah Myanmar.

Anak buah Datuk Ong Kim Swee turun ke Stadium Shah Alam dengan keyakinan tinggi walaupun menyedari cabaran hebat akan ditampilkan pihak lawan.

Pada awal 45 minit pertama, Adib Zainuddin dan rakan-rakan memilih untuk berwaspada sebelum tampil menyaingi tempo permainan pentas ditunjukkan skuad Myanmar.

Pasukan pelawat nampak lebih kemas dalam mengatur serangan, namun keadaan itu diimbangi dengan dominasi bola tuan rumah.

Minit ke-33 akhirnya menjadi pemisah kedudukan selepas penyerang negara, N Thanabalan berjaya membolosi gawang Myanmar untuk gol pertama Malaysia.

Pemain Felcra FC berada pada kedudukan tepat untuk sempurnakan jaringan selepas hantaran Safawi Rasid yang disusuli bola muntah rembatan Matthew Davies berjaya disudahkan Thanabalan.

Kedudukan 1-0 itu terus menyuntik semangat barisan pemain Malaysia terus menguasai permainan.

Ribuan penyokong di stadium tidak perlu menanti terlalu lama untuk sekali lagi bersorak gembira apabila gol kedua menyusul dua minit berselang.

Kali ini giliran seorang lagi ayam tambatan Malasia - Safawi mempamerkan ketangkasannya menundukkan ego pasukan lawan.

Konsisten

Hantaran lencong S Kumaahran bijak disambut tandukan Safawi yang tidak dikawal benteng pertahanan lawan untuk menewaskan penjaga gol Myanmar, Sann Sat Naing untuk kedudukan 2-0 separuh masa pertama.

Untuk Rekod, Safawi adalah penjaring gol pertama ketika Malaysia menewaskan Brunei 2-1 pada aksi pertama kumpulan A 14 Ogos lalu.

Thanabalan pula mencipta gol penting untuk kemenangan skuad negara ketika menewaskan Singapura 2-1, Rabu lalu.

Separuh masa kedua menyaksikan pemain negara tidak bermasalah menghadapi tekanan yang dipamerkan pasukan lawan.

Malah, anak buah Kim Swee tenang untuk terus konsisten dalam melakukan serangan dan bertahan.

Bagaimanapun, menjelang penghujung masa perlawanan, Thanabalan sekali lagi mengejutkan pasukan lawan dengan menyumbang gol ketiga Malaysia.

Hantaran lintang Jafri Firdaus Chew ke zon bahaya Myanmar begitu gigih disambut Thanabalan sekali gus menanduk masuk gawang pendahulu kumpulan A itu.

Kedudukan 3-0 itu ternyata tidak bertahan lama, apabila Myanmar memperolehi gol saguhati melalui jaringan Than Paing susulan kesilapan pemain pertahanan.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia berada di kedudukan kedua kumpulan dengan berkongsi kutipan mata yang sama dengan Myanmar iaitu sembilan mata.

Bagaimanapun, pasukan tuan rumah masih mempunyai baki satu perlawanan peringkat kumpulan berdepan Loas dan berpeluang untuk berada kedudukan teratas sebelum beraksi pada peringkat separuh akhir.
 

Lihat Komen