malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Vingada tuntut keluarga kukuh Harimau Malaya
ADS

Dalam membentuk sebuah pasukan bola sepak yang sukar ditewaskan, adalah penting untuk pemain dan staf skuad bola sepak negara, Harimau Malaya membina ikatan kekeluargaan yang kukuh sesama mereka, kata Ketua Jurulatihnya Nelo Vingada.

Warga Portugis itu berkata sebagai ketua jurulatih, beliau bekerja keras untuk membina ikatan itu dalam pasukan, jadi Vingada meminta pemain dan staf Harimau Malaya melakukan perkara yang sama.

"Kami perlu memilih 11 pemain (untuk kesebelasan utama) jadi kami memerlukan sedikit masa untuk lebih mengenali pemain dan pemain untuk lebih mengenali saya. Saya tidak mahu kata saya kenal semua mereka tetapi saya kenal Shafiq Rahim, Baddrul Bakhtiar, Nazirul Naim (Che Hashim) dan pemain lain, mereka boleh bermain untuk pasukan.

Tapi yang paling penting ialah untuk kami bekerja keras dalam membina hubungan rapat supaya dapat bekerja sebagai satu keluarga kerana inilah perkara yang amat penting dalam membina sebuah pasukan yang benar-benar bagus,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di Stadium Hang Jebat, Krubong, di Melaka hari ini.

Malaysia dijadualkan bertemu Syria dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di stadium yang sama 22 Ogos ini.

Bercakap mengenai pemilihan 24 pemain, Vingada berkata beliau tidak banyak pilihan dalam mencari pemain muda berbakat untuk disuntik ke dalam pasukan Harimau Malaya kerana pemain bawah 23 tahun kini terlibat dengan Sukan SEA di Kuala Lumpur.

Beliau berkata pemain baharu yang dipilih, terutamanya pemain yang hangat diperkatakan, pemain tengah Pahang, Kiko Insa dan penyerang PKNP Muhammad Shahrel Fikri Mohd Fauzi, kedua-dua dipanggil buat kali pertama dan berharap mereka memenuhi apa yang diperlukan beliau.

"Ini adalah pemilihan saya dan staf saya , sepanjang Julai dan Ogos dan kami telah mengumpulkan maklumat mengenai pemain terutamanya yang baharu. Saya mahukan mereka melakukan yang terbaik untuk pasukan," katanya.

Ketua Jurulatih itu mengekalkan 13 daripada 26 pemain yang terpilih dalam perlawanan Malaysia tewas 1-2 menentang Lubnan dalam Kelayakan Piala Asia 2019, 13 Jun lepas.

Vingada menjangkakan perlawanan menentang Syria adalah sukar dan perlawanan itu penting bagi Harimau Malaya sebagai persiapan menghadapi Hong Kong dalam perlawanan Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019, 5 Sept ini.

Sementara itu, pemain pertahanan Khairul Helmi Johari berkata tidak wujud masalah keserasian dalam kalangan pemain yang telah mewakili Harimau Malaya sebelum ini, namun memerlukan sedikit masa untuk mewujudkan hubungan erat dengan pemain baharu.

Pemain Kedah itu berkata Vingada memberitahu peluang untuk semua pemain terus berada dalam pasukan Harimau Malaya masih terbuka luas, justeru beliau dan rakan-rakan akan bekerja keras bukan hanya bagi menambat hati jurulatih sebaliknya untuk mengejar kejayaan bagi pasukan.

-Bernama

Lihat Komen