malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
11 digugur 11 pemain diganti Vingada
Diterbitkan:  Aug 4, 2017 2:52 PM
Dikemaskini: 6:54 AM
ADS

Selepas tewas 1-2 kepada Lubnan pada aksi pertama Kelayakan Piala Asia 2019, 13 Jun lalu,jurulatih negara, Nelo Vingada menggugurkan 11 pemain dengan digantikan dengan 11 pemain baru bagi menjalani latihan pusat kali ini.

Daripada 26 pemain asalnya, hanya 13 orang sahaja dikekalkan untuk terus berada dalam skuad utama bola sepak kebangsaan.

Pemain yang digugurkan terdiri daripada Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Afif Amiruddin, Mohd Faisal Mohd Rosli (Pahang), Shahrul Saad (Perak), Amri Yahyah (Selangor), Safee Sali, Mohd Nazrin Syamsul Bahri (PKNS FC) serta Izham Tarmizi Roslan, Mahalli Jasuli, S Chanthuru dan Azammuddin Akil (JDT).

Sementara dua lagi pemain iaitu Matthew Davies dan Nor Azam Abdul Azih dilepaskan untuk bersama skuad B-22 kebangsaan kendalian Datuk Ong Kim Swee bagi menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dari 14 hingga 29 Ogos ini.

Sebagai ganti, Vingada telah menyenaraikan seramai 11 pemain baharu termasuk memanggil semula dua pemain – Aidil Zafuan Abd Radzak dan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham dari JDT yang sebelum ini terpaksa diketepikan kerana kecederaan.

Baki sembilan pemain baru lagi diisi oleh penjaga gol Farhan Abu Bakar dan Fitri Omar (Kedah), Darren Lok dan Fadhli Shas (JDT), Nasir Basharudin dan Nazrin Nawi (Perak), Kiko Insa (Pahang), Wan Zack Haikal Wan Nor (Felda United) dan Shahrel Fikri Md Fauzi (PKNP FC).

"Kali ini, mereka akan menjalani latihan pusat harian selama seminggu di Stadium Hang Tuah, Melaka dan perlawanan bertemu Syria di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 22 Ogos.

"Selepas itu, skuad kebangsaan akan berlepas ke Macau pada 23 Ogos untuk perlawanan bertemu Macau di Kompleks Olimpik Macau pada 25 Ogos," kata FAM dalam kenyataan, hari ini.

Tambah kenyataan itu, mereka akan terbang terus ke Yangon, Myanmar pada 26 Ogos untuk perlawanan menentang Myanmar di Stadium Thuwunna, Yangon pada 29 Ogos.

Skuad Harimau Malaya akan berlepas pulang ke tanah air pada 30 Ogos bagi menyambung latihan pusat di Melaka bagi menghadapi perlawanan kelayakan kedua Kumpulan B bertemu Hong Kong di Stadium Hang Jebat, pada 5 September.

Lihat Komen