Bintang Barcelona, Neymar terus dipujuk rakan senegaranya Dani Alves supaya meninggalkan kelab gergasi itu dan berhijrah ke Paris Saint-Germain (PSG).
Alves yang kini turut bergabung ke skuad The Parisians adalah antara individu yang menghasut Neymar berhijrah dari Santos ke barcelona pada 2013.
Kini, pemain berusia 34 tahun itu amat berharap sekiranya Neymar memilih untuk bersama PSG pula.
Menurutnya, Neymar perlu berani membuat keputusan terbaik demi karier bola sepaknya.
"Saya harap dia berhijrah ke PSG. Neymar adalah salah seorang sahabat karib saya dan saya mahu sentiasa berada di sisi sahabat-sahabat saya.
"Keputusan ditangannya, tetapi kami akan menyambut dengan tangan terbuka keandainya dia datang," katanya seperti dilaporkan ESPN FC.
Alves mengakui sebelum ini dia pernah membantu Neymar dalam urusan perpindahan dari Santos ke Barcelona.
"Saya pernah sekali membantunya dalam membuat keputusan untuk ke Barcelona. Saya katakan apa yang dia akan perolehi sekiranya ke Barcelona dan ternayta dia berhijrah.
"Membuat keputusan hanya untuk orang yang berani. Saya sendiri putuskan untuk tinggalkan Barcelona dan kemudiannya tinggalkan Juventus. Dan Neymar perlu buat keputusan yang matang untuk terus maju," katanya.
Neymar sebelum ini dispekulasi akan memilih PSG sebagai destinasi kariernya dalam jendela perpidahan musim panas ini. Dia dikatakan akan meninggalkan Barcelona kerana tidak mahu lagi dibayangi rakan sepasukan, Lionel Messi.
Sementara itu, PSG dilaporkan bersedia untuk menebus kontrak bintang Brazil itu daripada Barcelonan dengan yuran perpindahan melibatkan 222 juta euro (RM1.1 bilion).
Jika perpindahan itu berhasil, Neymar akan menjadi pemain termahal di dunia.