malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Sukan
Legenda olahraga yakin raja pecut akan lebih pantas
ADS

Legenda olahraga negara, Tan Sri Dr M Jegathesan menyatakan keyakinannya terhadap raja pecut Malaysia, Khairul Hafiz Jantan untuk meraih kejayaan lebih besar pada masa akan datang.

Katanya, kejayaan atlet kelahiran Melaka itu membuktikan kini wujud sekumpulan atlet berbakat besar untuk mengharumkan nama negara.

"Khairul Hafiz masih muda, dia akan lebih pantas pada masa akan datang sekiranya menjalani latihan demi latihan yang betul.

"Selain Sukan SEA 2017, atlet-atlet ini masih mempunyai masa untuk memburu kejayaan di kejohanan lebih tinggi kelak," katanya ketika ditemui Malaysiakini di Semenyih, hari ini.

Terdahulu, pemegang rekod 49 tahun acara 200 meter itu tampil sebagai salah seorang panelis forum 'Can Malaysia Win Gold' di Kampus Universiti Nottingham‎.

‎Forum tersebut turut menampilkan bekas pemain badminton negara, Wong Choong Hann dan jurulatih atlet olahraga, S Muthiah.

Pada 18 Julai lalu, Khairul Hafiz berjaya memecahkan rekod 200 meter milik Dr Jegathesan dalam aksi pusingan akhir Kejohahan Olahraya Terbuka Malaysia 2017 dengan catatan masa 20.90 saat.

Rekod berusia 49 tahun itu dicipta ‎'The Flying Doctor' dalam temasya Olimpik Mexico pada 1968 dengan catatan 20.92 saat.

Sementara itu ditanya mengenai ketiadaan atlet yang berjaya memintas rekodnya untuk tempoh yang lama, Dr Jegathesan bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Menurut beliau, apa yang lebih penting Malaysia kini mempunyai atlet berpotensi untuk meraih lebih banyak pingat emas dalam pelbagai kejohanan.

"Mungkin dalam tempoh satu atau dua tahun lagi, Khairul Hafiz dan beberapa atlet lain akan mencipta rekod lebih pantas.

"Umurnya masih muda, tapi itu bergantung kepada latihan dan usaha mereka sendiri," katanya.

 

Lihat Komen