malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
MOM percaya jerebu tak ganggu Sukan SEA
ADS

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yakin jerebu tidak akan mengganggu kelancaran penganjuran Sukan SEA ke-29 dari 19 hingga 30 Ogos ini.

Presidennya Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar berkata setiap kali Malaysia menganjurkan temasya sukan antarabangsa, keadaan cuaca di negara ini biasanya baik dan tidak mendatangkan masalah sehingga mengganggu penganjuran.

“Kita tidak boleh kawal cuaca, tapi kita boleh pastikan cuaca sentiasa baik semasa kejohanan kita berlangsung di masa lalu. Kita percaya tahun ini cuaca akan turut baik.

“Setahun sebelum kita hoskan Sukan Komanwel 1998, kita menghadapi masalah jerebu sangat teruk dan para delegasi yang menghadiri kejohanan sangat bimbang, namun semasa kejohanan, segala-galanya adalah baik," katanya pada sidang media sempena majlis penyerahan penajaan oleh Bata Malaysia kepada kontinjen Sukan SEA negara di Wisma OCM di Kuala hari ini.

Kebimbangan mengenai isu jerebu lintas sempadan timbul apabila Agensi Mitigasi Bencana Indonesia (BNPB) pada Selasa lepas memberi amaran mengenai peningkatan ancaman kebakaran hutan berikutan cuaca kering yang dijangka bertambah buruk di Aceh sekali gus menyebabkan wilayah itu mengalami jerebu.

Agensi berita antarabangsa Agence France-Presse (AFP) melaporkan bahawa puluhan penduduk termasuk kanak-kanak memenuhi hospital di Aceh untuk mendapatkan rawatan akibat jangkitan paru-paru berikutan asap tebal disebabkan kebakaran hutan.

Bagaimanapun, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar semalam berkata negara itu telah mengambil pendekatan rapi dan memberi jaminan bahawa masalah jerebu tidak akan berulang di Malaysia walaupun cuaca kering mula melanda sejak kebelakangan ini.

Sementara itu, ketua kontinjen negara Datuk Marina Chin berharap Malaysia tidak akan diganggu oleh masalah jerebu bagi memastikan atlet negara berada dalam tahap terbaik untuk muncul juara keseluruhan temasya itu.

“Jika berlaku juga, pihak Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (MASOC) akan berbincang dan mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.

Mengenai pemilihan atlet sebagai pembawa Jalur Gemilang, Marina berkata persoalan siapa atlet yang dipilih akan terjawab pada hari terakhir Kem Latihan Pusat Kontinjen Malaysia pada 10 Ogos ini.

“Pada 10 Ogos, saya akan menerima Jalur Gemilang daripada Yang di-Pertuan Agong di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan kemudiannya saya akan menyerahkan kepada pembawa bendera. Selepas itu kami akan umumkan segala persoalan ini,” katanya.

-Bernama

Lihat Komen