malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Impian Azizulhasni buru emas di Sukan Asia berkecai
ADS

Impian “The Pocket Rocket Man” – juara lumba basikal dunia acara keirin, Mohd Azizulhasni Awang untuk meraih emas acara itu pada Sukan Asia 2018 mungkin berkecai apabila penganjur temasya dilaporkan mahu menggugurkan acara berkenaan.

Presiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata ia juga boleh menjejaskan peluang pemenang pingat emas Kejohanan Dunia di Hong Kong itu untuk menambah kutipan mata bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) telah menzahirkan kekecewaan mereka dan telah menghantar surat kepada Presiden Majlis Olimpik Asia Syeikh Ahmad Al-Fahad Al-Sabah untuk membantah keputusan tersebut,” katanya.

Dalam satu surat bertarikh 19 Julai, Setiausaha Agung ACC Ongkar Singh mendedahkan bahawa pihak jawatankuasa penganjur Sukan Asia 2018 mahu menggugurkan tiga acara berbasikal Sukan Olimpik iaitu keirin, pecut berpasukan dan pecut bagi lelaki dan wanita .

“ACC memandang serius dan amat prihatin tentang tindakan Indonesia untuk tidak menyenaraikan tiga acara trek yang sangat popular seantero dunia khususnya Sukan Olimpik. Ini kerana ramai pelumba Asia telahpun berjaya meraih pingat dalam acara keirin di Sukan Olimpik,” katanya.

Sukan Asia 2018 dijadualkan berlangsung di Indonesia dari 18 Ogos hingga 2 Sept 2018.

-Bernama

Lihat Komen