malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Maradona sokong VAR, tiada lagi 'gol tangan tuhan'
Diterbitkan:  Jul 26, 2017 4:31 PM
Dikemaskini: 8:40 AM
ADS

Legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona memberi sokong penuh terhadap penggunaan teknologi video bantuan pengadil (VAR) untuk digunakan dalam setiap perlawanan sukan itu.

Malah, dia turut mengakui gol kontroversi yang dinamakan 'gol tangan tuhan' yang diciptanya pada 1986 itu tidak akan berlaku sekiranya VAR sudah digunakan.

Pengurus Fujairah FC itu berkata, penggunaan teknologi tersebut sangat diperlukan dalam perkembangan bola sepak sekarang.

"Pastinya saya teringatkan (jaringan itu) setiap kali menyatakan sokongan terhadap penggunaan VAR.

"Saya fikirkannya dan pastinya gol tersebut tidak akan disahkan (dengan penggunaan VAR)," katanya seperti dilaporkan Fifa.com.

Bekas pemain berusia 56 tahun itu mencipta sejarah tersendiri dengan menjaringkan gol menggunakan tangan pada aksi separuh akhir Piala Dunia 31 tahun lalu.

Jaringan itu sekali gus memberi kemenangan Argentina dengan keputusan 2-1 menewaskan pasukan England.

Sementara itu, Maradona berkata, ketiadaan penggunaan VAR pada zaman kegemilangannya itu memberi tuah kepadanya bukan hanya sekali, bahkan dua kali.

"Saya akan katakan sesuatu, pada Piala Dunia 1990 saya juga menggunakan tangan untuk menghadang bola melepasi garisan gawang pasukan Soviet Union.

"Kami bertuah kerana pengadil tak nampak. Pada masa itu anda tak boleh gunakan teknologi, tetapi mutakhir ini situasinya berbeza," katanya.

Lihat Komen