malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Sukan
Penaja Chelsea mahu taja JDT
Diterbitkan:  Jul 26, 2017 2:04 PM
Dikemaskini: 6:16 AM
ADS

Pemilik kelab JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi khabar gembira buat seluruh penyokong skuad Harimau Selatan.

Dalam kenyataan malam tadi, Tunku Mahkota Johor itu berkata, pemilik syarikat Carabao Group Public Co. Ltd melihat potensi yang ada pada JDT dan berhasrat menjadi penaja.

Carabao Group Public Co. Ltd dimiliki jutawan kelahiran Thailand, Pairoj Piempongsant dan merupakan penaja utama kelab bola sepak Inggeris, Chelsea.

"Saya teruja apabila pemilik Carabao Group Public Co. Ltd, Pairoj Piempongsant yang merupakan salah satu penaja utama kelab bolasepak Chelsea dapat melihat potensi yang ada pada JDT dan ingin menaja JDT dan negeri Johor.

"Beliau akan datang ke Johor pada bulan Ogos ini untuk melihat pelan stadium baru JDT dan juga pelan kelab bola sepak JDT," katanya.

Carabao Group Public Co. Ltd merupakan syarikat minuman air tenaga terkemuka yang beroperasi di Thailand.

Tunku Ismail yang juga presiden FAM berkata, beliau begitu teruja apabila kelab kecil yang telah dibina selama ini mencipta sejarah setiap hari dan juga semakin dikenali dunia serta ada 'world top brand' yang berkeinginan untuk menaja.

"Beliau (Piempongsant ) amat berminat untuk menaja JDT.

"Saya juga telah berjumpa dengan Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan dan Pengerusi kelab Chelsea, Bruce Buck," jelasnya.

Tambah Tunku Ismail, beliau berterima kasih kepada Bruce Buck dan Chelsea yang sudi menjemputnya menyaksikan perlawanan malam tadi dan menyatakan berpotensi untuk bekerjasama dengan JDT pada masa akan datang.

Terdahulu, Chelsea berdepan Bayern Munich dalam aksi Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) di Stadium Negara, Singapura menyaksikan skuad bimbingan Antonio Conte itu tewas 2-3.

Lihat Komen