malaysiakini logo
story-image
ADS

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yakin skuad sepak takraw negara mampu menyumbangkan dua pingat emas dalam temasya Sukan SEA 2017 bulan depan.

Khairy berkata sasaran yang diletakkan Kementerian Belia dan Sukan itu adalah realistik sekalipun sukan itu kini didominasi oleh Thailand.

“Saya yakin mereka (pemain) tidak akan mengecewakan kita,” katanya semasa melancarkan Liga Sepak Takraw (STL) di Putrajaya, hari ini.

Sebanyak 12 pingat emas ditawarkan dalam acara sepak takraw Sukan SEA yang bermula pada 16 hingga 30 Ogos di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Skuad takraw Malaysia berjaya meraih emas dalam acara regu pada Sukan SEA di Singapura pada 2015, namun kemenangan itu kurang manis kerana musuh tradisi Thailand tidak menyertai acara berkenaan.

Mengenai STL, Khairy berharap sepak takraw menjadi satu sukan antarabangsa seperti Liga Perdana Inggeris (EPL) yang merupakan sukan bola sepak yang ditonton oleh seluruh dunia.

“Saya berharap pada masa akan datang, STL akan menjadi seperti EPL yang mana pemain sepak takraw dari luar akan mengambil bahagian dalam pertandingan itu,” katanya.

STL pada tahun ini, yang akan berlangsung di Stadium Serdang Jaya mulai 29 Sept menyaksikan pemain-pemain profesional sepak takraw daripada 14 pasukan berentap untuk merebut kemenangan.

Antara pasukan yang terlibat ialah Penang Black Panthers, Johor, Kuala Lumpur, ATM Guardians dan pendatang baharu Perak Bisons.

-Bernama

Lihat Komen