malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Sivasangari, Andrea ke suku akhir skuasy remaja dunia
Diterbitkan:  Jul 21, 2017 7:14 PM
Dikemaskini: 11:18 AM
ADS

Juara Remaja Asia 2016 Bawah 19, S Sivasangari mara ke suku akhir Kejohanan Skuasy Individu Remaja Dunia WSF di Tauranga, New Zealand pada Jumaat.

Sivasangari, pemain pilihan bersama 5/8 menewaskan rakan sepasukan, yang juga pilihan bersama 9/16, Zoe Foo Yuk Han; 11-5, 11-6 dan 11-9 pada pusingan keempat yang diadakan di Devoy Squash and Fitness Centre, menurut laman web rasmi kejohanan;www.wsfworldjuniors.com.

Seorang lagi pemain negara, Andrea Lee yang juga pilihan bersama 5/8 berjaya ke suku akhir selepas meraih kemenangan 11-9,11-8 dan 11-8 menewaskan pemain pilihan bersama 9/16 Elise Lazarus dari England.

Empat lagi pemain Malaysia bagaimanapun, tersingkir daripada kejohanan itu selepas tewas kepada lawan masing-masing.

Chan Yiwen tewas 3-11, 5-11 dan 4-11 kepada pilihan utama, Hania El Hammamy dari Mesir manakala juara dua kali Kejohanan Remaja Terbuka Britain, Aifa Azman dikalahkan oleh pemain pilihan kedua dari Mesir, Zeina Mickawy 10-12, 11-13 dan 7-11.

Dalam kategori lelaki, Ong Sai Hung memberi saingan sengit ke atas pilihan utama, Youssef Ibrahim dari Mesir sebelum tewas 11-9, 14-16, 16-14, 7-11 dan 5-11 dalam perlawanan yang mengambil masa 66 minit.

Darren Rahul Pragasam juga menghadapi nasib yang sama selepas kecundang 6-11, 6-11 dan 0-11 di tangan Victor Crouin dari Perancis.


-Bernama

Lihat Komen