malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Sukan
Stadium Perak diberi sentuhan lebih berkualiti
Diterbitkan:  Jul 21, 2017 4:24 PM
Dikemaskini: 8:33 AM
ADS

Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan mempertingkatkan kualiti padang Stadium Perak di sini selaras dengan piawaian yang ditetapkan pihak Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP).

Datuk Bandar Ipoh Datuk Zamri Man berkata ketika ini MBI sedang giat melakukan kerja penambahbaikan terutama melibatkan proses taburan pasir, penanaman dan pembajaan rumput di beberapa kawasan dalam padang.

Katanya keadaan padang dijangka bertambah baik dalam tempoh 10 hari akan datang sekiranya kerja penambahbaikan itu berjalan lancar.

"Keadaan padang kita bukanlah terlalu teruk dan sebelum ini juga telah berlangsung pelbagai perlawanan membabitkan pasukan bola sepak Perak dan PKNP FC termasuk yang disiarkan secara langsung di televisyen.

"Tetapi apabila diminta untuk dilakukan penambahbaikan, maka kita akan laksanakan mengikut tahap yang dikehendaki FMLLP itu sendiri," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Ipoh Yang Bersih di Ipoh, hari ini.

Semalam, pihak FMLLP telah memutuskan bahawa Stadium Perak akan ditutup buat sementara waktu bagi membolehkan kerja baik pulih padang dijalankan.

Keputusan itu dibuat selepas mereka melakukan pemeriksaan terhadap kualiti padang bersama wakil pasukan Perak, PKNP FC serta pihak pengurusan Stadium Perak dan mendapati padang tersebut berada dalam keadaan yang tidak boleh digunakan untuk perlawanan.

Zamri berkata, segala keputusan terutama membabitkan kelulusan pembukaan semula Stadium Perak juga tertakluk bawah bidang kuasa FMLLP selaku pihak penganjur Liga Malaysia.

Mengulas mengenai projek naik taraf Stadium Perak bagi persediaan Perak selaku tuan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 tahun depan, beliau berkata ia mungkin akan dilakukan selepas tamat musim Liga Malaysia 2017 sebaik mendapat kebenaran daripada kerajaan negeri dan pihak berkaitan.

-Bernama
 

Lihat Komen