malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Hukuman Farizal diringankan
Diterbitkan:  Jul 21, 2017 12:52 PM
Dikemaskini: 4:54 AM
ADS

Hukuman penggantungan penjaga gol JDT, Farizal Marlias diringankan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas diputuskan jawatankuasa rayuan badan induk bola sepak Asia itu, kelmarin.

Melalui keputusan itu, penjaga gol utama skuad Harimau Selatan itu dibenarkan beraksi bermula 9 Februari depan berbanding hukuman asal berkuat kuasa hingga 9 Jun 2018.

Keputusan rayuan itu bermakna tempoh penggantungan setahun dikenakan ke atas pemain 30 tahun itu sebelum ini dipendekkan kepada lapan bulan.

Bagaimanapun, Farizal berada di dalam pemantauan badan induk itu selama empat bulan tempoh percubaan selepas kembali ke padang.

"Bagi rayuan pemain JDT, Mohd Farizal Marlias, jawatankuasa mengesahkan penggantungan perlawanan 12 bulan daripada bola sepak Asia dan dikenakan denda AS$40,000 (RM171,540).

"Bagaimanapun, penggantungan itu termasuk empat bulan untuk tempoh percubaan daripada setahun.

"Jika Farizal dibuang padang kerana melakukan kekerasan dalam mana-mana perlawanan rasmi dalam tempoh percubaan, penggantungan itu secara automatik akan berjalan," kata AFC dalam kenyataan, semalam.

Farizal sebelum ini, dikenakan hukuman penggantungan selama 12 bulan dan jumlah denda yang sama selepas dia mengasari pengadil pada aksi separuh akhir kedua Piala AFC bagi zon Asia Tenggara berdepan Ceres Negros, 31 Mei lalu.

Sementara itu, jawatankuasa berkenaan juga memutuskan agar Farizal menyelesaikan denda dalam tempoh 30 hari daripada tarikh keputusan berkenaan mengikut Artikel 11.3.

Selain itu, dia turut diberi amaran dengan risiko hukuman lebih berat akan dikenakan sekiranya mengulangi kesalahan sama.

Lihat Komen