malaysiakini logo
story-image
ADS

“Jantung saya sentiasa berdebar-debar sepanjang menyaksikan acara itu berlangsung,” demikian kata Leow Lai Kuan, 51, ibu kepada penerjun elit kebangsaan Cheong Jun Hoong yang mencipta sejarah apabila meraih emas dalam Kejohanan Akuatik Dunia 2017 di Budapest, Hungary pada Rabu.

Leow berkata beliau dan suami Cheong Sun Meng, 55, sanggup bersengkang mata demi melihat anak sulung mereka itu melakar kejayaan di persada antarabangsa menerusi siaran langsung di televisyen kira-kira pukul 12.20 tengah malam tadi.

Katanya walaupun yakin anaknya itu akan membawa pulang pingat, namun tidak menyangka sama ada anaknya berupaya membawa balik pingat emas.

"Apabila dia berjaya mengalahkan dua penerjun dari China dan sekali gus memenangi emas, saya memang terkejut dan sangat gembira kerana tahu dia sudah melakukan yang terbaik," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Ipoh, Perak hari ini.

Leow berkata sebagai ibu, beliau sentiasa memberi sokongan namun tidak pernah meletakkan sebarang sasaran kerana enggan memberi tekanan kepada Jun Hoong.

Cheng Jun Yeng, 24, iaitu adik Jun Hoong berkata kakaknya kekal tenang sepanjang kejohanan dengan tidak melihat papan markah untuk mengetahui mata yang dipungutnya selepas setiap kali terjunan.

"Dia hanya memberikan sepenuh perhatian kepada terjunan dan melakukan yang terbaik. Dia memberitahu kami, dia tidak melihat papan markah sehingga terjunan akhir dilakukan.

"Sebenarnya saya agak kasihan dengan dia kerana saya tahu dia dalam kesakitan akibat kecederaan lama di bahagian belakang. Tetapi saya berbangga kerana perkara itu tidak menjadi penghalang untuknya," katanya.

Jun Yeng berkata dia tidak bersama ibu dan bapanya menyaksikan pertandingan itu kerana sedang mengulang pelajaran di biliknya sebagai persiapan menduduki peperiksaan bulan depan.

“Kami berharap rakyat Malaysia akan terus memberi sokongan kepada Jun Hoong kerana kejayaannya bukanlah untuk dirinya semata-mata tetapi juga untuk negara,” katanya.

Jun Hoong, 27, mencipta sejarah apabila menjadi atlet Malaysia pertama meraih pingat emas pada Kejohanan Akuatik Dunia 2017 dengan mengetepikan dua penerjun hebat China termasuk bekas juara Sukan Olimpik 2016, Ren Qian.

-Bernama
 

Lihat Komen