malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Ada Lukaku, Mourinho tak lagi pandang Morata
Diterbitkan:  Jul 20, 2017 7:21 PM
Dikemaskini: 11:24 AM
ADS

Pengurus Manchester United (MU) Jose Mourinho menegaskan betapa dia tidak tertarik dengan laporan perpindahan penyerang Real Madrid, Alvaro Morata, ke Chelsea.

"Sungguh, saya tidak tertarik dengan apa yang dilakukan Chelsea.

"Chelsea jelas memerlukan seorang penyerang selepas kemelut yang terjadi antara pengurusnya (Antonio Conte) dan Diego Costa," katanya pada sidang media menjelang perlawanan persahabatan MU dan Manchester City, hari ini.

Selepas gagal mendapatkan khidmat Romelu Lukaku, kelab milik Roman Abramovich itu beralih arah dengan melamar Marota pula bagi menguatkan jentera serangan mereka menjelang permulaan musim baru EPL bulan depan.

Dan Mourinho berpendapat, kejayaan MU membeli Lukaku lebih baik jika dibandingkan Chelsea yang mendapat khidmat Morata.

"Kami memperolehi pemain hebat. Lukaku sekarang tak boleh dibandingkan dengan Lukaku sebelum ini. Ketika itu Lukaku bekerja dengan saya dalam waktu singkat, kemudian perkembangannya lebih baik," katanya.

Sebelum ini Mourinho pernah mengakui kekagumannya terhadap Morata ketika MU menjalani jelajah pramusim ke Amerika Syarikat.

Katanya, menjadi perkara memalukan bagi MU jika tidak mencapai kata sepakat dengan Real Madrid untuk membeli Morata.

Kini, setelah Morata rasmi ke Chelsea, Mourinho menjelaskan mereka perlukan seorang lagi penyerang pada jendela perpindahan musim panas ini selepas kehilangan Zlatan Ibrahimovic.

"Kami perlukan seorang penyerang. Ya, kami perlukan Zlatan dengan kondisi terbaiknya, kami perlukan seorang lagi untuk menjadi pelapis.

"Zlatan dan Marcus Rashford saja tidak cukup, khususnya setelah Zlatan cedera," jelasnya.

Terdahulu, Morata dilaporkan berpindah ke Chelsea dengan yuran perpindahan sekitar £71 juta (RM394.4 juta) dan kemungkinan akan mengisi posisi Costa yang hampir pasti meninggalkan Stamford Bridge.

Lihat Komen