malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Jun Hoong buka peluang tambah pingat Sukan SEA
ADS

Prestasi cemerlang yang ditonjolkan penerjun negara Cheong Jun Hoong di Kejohanan Akuatik Dunia FINA menambah peluang buat sukan terjun mengumpul lebih banyak pingat pada Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, kejayaan Jun Hoong bukan sahaja satu kejayaan buat dirinya dan skuad terjun negara sebaliknya memberi motivasi serta semangat kepada kontinjen Malaysia.

"Kejayaan ini amat manis bukan sahaja membuktikan sukan terjun adalah salah satu sukan elit negara, malahan pasukan terjun negara berjaya menempatkan diri sebagai juara dunia yang selama ini didominasi oleh negara terkuat dalam sukan ini iaitu China.

"Kejayaan ini amat tepat sekali dengan aspirasi Transformasi Sukan Negara yang membolehkan wujudnya Program Podium. Ia membuktikan bahawa kita mampu menjadi juara dunia," kata Ahmad Shapawi ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Jun Hoong yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio bersama Pandelela Rinong Pamg dalam 10m platform seirama mengumpul 397.50 mata untuk memastikan lagu Negaraku berkumandang di Duna Arena, Budapest, awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Beliau menewaskan dua pesaing terkuat dari China iaitu Si Yiajie (bekas juara dunia) dan Ren Qian (pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio de Janeiro) selepas masing-masing mengumpul 396.00 mata dan 391.95 mata untuk pingat perak dan gangsa.

Pingat yang dimenangi itu adalah yang kedua miliknya pada Kejohanan Akuatik Dunia FINA kali ini selepas meraih gangsa dalam acara 10m platform seirama bergandingan dengan Pandelela Rinong.

Sementara itu, Pandelela Rinong yang turut menempatkan diri dalam peringkat akhir menamatkan saingan di kedudukan kesembilan daripada 12 penerjun yang layak.

Dalam perkembangan yang sama, setiausaha kehormat Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) Mae Chan berkata beliau percaya Jun Hoong akan beraksi dengan lebih baik pada Sukan SEA nanti.

"Seluruh negara amat berbangga dengan beliau. Pasukan negara telah menjalani latihan dengan gigih, banyak berkorban dan kita telah menuai apa yang kita menaburkan.

"Tahniah kepada Jun Hoong dan skuad terjun. Mereka membanggakan kita. Lagu kebangsaan Negaraku yang berkumandang pada kejohanan dunia adalah sangat menakjubkan, aia menitiskan air mata untuk kita tanda kejayaan," kata beliau ketika dihubungi di Budapest.

-Bernama

Lihat Komen