malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Sukan
Formula Kim Swee menjadi, Indonesia kena belasah
ADS

Formula Datuk Ong Kim Swee nampaknya benar-benar menjadi. Skuad bawah 22 tahun (B-22) Malaysia kendaliannya menang bergaya mengatasi Indonesia 3-0, sebentar tadi.

Walaupun dengan latihan dan pilihan pemain yang begitu terhad, Kim Swee membuktikan kemampuan sebenar barisan pemain-pemainnya.

Aksi kelayakan Kumpulan H Piala AFC 2018 di Bangkok, Thailand itu menyaksikan pasukan negara langkah kanan pada perlawanan pertama.

Gol awal

Malah, seawal minit ketiga permainan mereka sudah mendahului pasukan kendalian Luis Milla dengan jaringan 1-0.

Sentuhan penyerang dari Kedah, Syafiq Ahmad berjaya membolosi gawang lawan yang diawasi Satria Tama Hardiyanto untuk gol pertama Malaysia.

Barisan jentera serangan negara tampil dengan rentak dan tempo persembahan waspada.

Adib Zainudin dan rakan-rakan tidak terlalu agresif untuk melawan, namun bijak mengambil kesempatan untuk melakukan asakan.

Mereka banyak bermain dengan hantaran-hantaran pendek, berbanding Indonesia lebih mendominasi hantaran panjang dan serangan balas pantas.

Namun benteng pertahanan skuad Projek Sukan SEA 2017 mempamerkan kekebalan termasuk penjaga gol, Ifwat Akmal Chek Kassim yang beraksi cemerlang.

Minit ke-19, pasukan negara berjaya menggandakan jaringan melalui tandukan cantik Jafri Firdaus Chew untuk kedudukan 2-0.

Bola yang berpunca daripada sepakan bebas dari luar kotak penalti itu bijak disempurnakan Jafri yang memperdayakan Satria Tama.

Menjelang suku ketiga 45 minit pertama, giliran N Thanabalan pula merekodkan nama selaku penjaring.

Juga melalui sepakan sudut, pemain Felcra FC itu mengukuhkan kedudukan dengan 3-0 untuk Malaysia menguasai aksi di Stadium Nasional Supachalasai, Bangkok itu.

Kad merah

Sementara itu, kembali dari bilik persalinan untuk separuh masa kedua penguasaan menjadi milik Indonesia yang dilihat semakin tertekan.

Nasib skuad garuda muda itu bertambah malang apabila seorang pemainnya dikenakan kad merah selepas mengasari pemain Malaysia.

Terjahan keras Asnawi Mangualam Bahar terhadap pemain negara dapat dihidu pengadil perlawanan dari Australia, Jarred Gavan Gillet.

Susulan itu, jentera Indonesia yang diketuai Bagas Adi Nugroho cuba bangkit dengan serangan demi serangan berbanding anak buah Kim Swee lebih banyak bertahan.

Namun, beberapa percubaan mereka dapat dipatahkan dengan baik pemain pertahanan sebelum wisel penamat panjang ditiupkan pengadil.

Tiga mata diraih pasukan negara itu pastinya memberi suntikan moral lebih positif untuk mereka berdepan pasukan tuan rumah pada perlawanan kedua, Jumaat ini.
 

Lihat Komen