malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Sukan
Kim Swee pertaruh latihan 5 hari hadapi lawan di Bangkok
ADS

Jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee mengakui persiapan pasukan-pasukan lawan lebih rapi berbanding Malaysia menjelang saingan pusingan kelayakan Piala AFC 2018 di Bangkok, Thailand, esok.

Bekas jurulatih kebangsaan itu berkata, barisan pemain Skuad Projek Sukan SEA 2017 yang dibimbingnya itu hanya berjaya dikumpulkan sejak lima hari lalu.

"Seperti yang kita tahu pasukan Indonesia bersiap lebih awal, Thailand juga liga mereka dihentikan lebih awal.

"Hanya kita, saya mengumpulkan pemain lima hari yang lepas dan bagi saya semua perlawanan amat penting tak kita sama ada berdepan Thailand, Indonsia dan Mongolia," katanya pada sidang media di Bangkok, hari ini.

Rakaman sidang media tersebut telah dihantar melalui Jabatan Media FAM kepada wartawan sukan tempatan melalui aplikasi WhatsApp, sebentar tadi.

Malaysia diundi untuk bersaing dalam Kumpulan H itu melibatkan bersama Thailand, Indonesia dan Mongolia bagi merebut peluang ke peringkat seterusnya.

Terdahulu, persiapan pasukan negara dilihat tergendala apabila Kim Swee menghadapi masalah untuk mengumpulkan semua pemain yang dipanggilnya.

Malah, pada hari pertama kem latihan pusat 5 Julai lalu, hanya enam pemain yang melaporkan diri apabila sebahagian besar tidak mendapat pelepasan daripada pasukan dan kelab masing-masing.

Namun, pasukan B-22 negara sempat mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan Myanmar dan mencatat kemenangan bergaya 2-0 pada aksi di Stadium Shah Alam, 13 Julai lalu.

Sementara itu Kim Swee berkata, apa yang penting kini beliau mahu barisan pemain fokus terhadap satu demi satu perlawanan yang bakal dihadapi.

"Walaupun mempunyai sedikit masalah dengan persiapan kita, tetapi saya percaya pemain-pemain Malaysia telah bersedia, sama dengan pasukan-pasukan lain tujuan kita ke sini adalah untuk layak ke peringkat seterusnya.

"Saya percaya semua pasukan bersiap-sedia dengan baik dan kita tahu pasukan Thailand satu pasukan yang cukup hebat, begitu juga pasukan Indonesia dan kita tak boleh memandang rendah pasukan Mongolia," jelasnya.

Malaysia bakal menghadapi perlawanan pertama berdepan Indonesia pada jam 5 petang esok di Stadium Nasional Supachalasai, Bangkok.
 

Lihat Komen