JDT 'lemaskan' Bujang Senang di Larkin


(Dikemaskini )

Kunjungan Sarawak ke Larkin berdepan JDT malam ini seolah-olah termakan dengan 'harapan palsu' disajikan pasukan tuan rumah.

Aksi ke-16 Liga Super 2017 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos itu mempamerkan debaran tersendiri sebelum keputusan akhir 3-1 berpihak kepada skuad Harimau Selatan.

Safiq Rahim dan rakan-rakan tidak memerlukan banyak masa untuk mendahului skuad Bujang Senang.

Penyerang import JDT, Mohammed Ghaddar berjaya membolosi gawang Sarawak seawal minit ke-12 sekali gus melegakan penyokong-penyokong mereka.

Permainan anak buah Ulisses Morais kali ini tidak terlalu agresif, mereka nampaknya tampil dengan tempo tenang khususnya di separuh masa pertama.

Namun, rentak agak perlahan itu tetap diatur dengan langkah-langkah waspada bagi menguasai persembahan.

Malah, mereka tetap garang dalam situasi tertentu khususnya apabila ada peluang untuk melakukan serangan pantas.

Sebaliknya, Sarawak pula dilihat lambat menutup ruang terutamanya di posisi pertahanan setiap kali serangan balas pantas dilakukan lawan.

Dalam aspek serangan pula, mereka lebih banyak melakukan hantaran panjang untuk cuba memperdayakan benteng pertahanan JDT.

Kejutan Sarawak

Bagaimanapun, tidak mudah untuk mereka mengatasi kubu pertahanan JDT yang sentiasa diawasi dengan rapi Marcos Antonio, Fadhli Shas, S Kunalan dan Hasbullah Abu Bakar.

Sementara itu, kembali dari bilik persalinan untuk 45 minit kedua, gambaran awal memberi kejutan buat pasukan lawan.

Sentuhan penyerang dari Singapura, Sahil Suhaimi berhasil menjelmakan gol penyamaan untuk Sarawak pada minit ke-64.

Kedudukan 1-1 itu nampaknya memberi tonik bertenaga untuk kedua-dua pasukan mempamerkan aksi lebih rancak.

Namun, keadaan itu hanya seketika. Tuah tetap berpihak pada tuan rumah dan Ghaddar sekali lagi menggegarkan gawang lawan sekali gus menidakkan kemaraan Sarawak.

Gol pada minit ke-75 itu berlaku melalui kombinasi serangan pantas disusuli satu hantaran lintang Safawi Rasid ke tengah kawasan kotak penalti Sarawak disempurnakan dengan rembatan Ghaddar.

Tiga minit berselang, giliran Safawi pula merekodkan namanya selaku penjaring dengan menyumbang gol ketiga JDT dengan memanfaatkan hantaran Safiq.

Keputusan itu menyaksikan JDT terus unggul di puncak carta Liga Super dengan mengumpul 39 mata dan Kedah yang seri 1-1 berdepan Selangor malam ini berada pada kedudukan kedua dengan 28 mata.

Keputusan-keputusan lain:

Felda United 5-1 T-Team
Kedah 1-1 Selangor
Kelantan 0-2 Perak
Melaka United 2-3 Pulau Pinang
PKNS FC 1-3 Pahang FA

Share