malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
KFA bertafakur kenang bapa bola sepak Kedah
Diterbitkan:  Jul 15, 2017 8:12 PM
Dikemaskini: 12:17 PM
ADS

Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mengadakan acara bertafakur selama seminit sebelum aksi Kedah menentang Selangor pada perlawanan Liga Super di Stadium Darulaman di sini malam ini.

Ia bagi memperingati ulang tahun pemergian bekas tokoh bola sepak Kedah Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil hari ini.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Aminuddin Omar berkata penyokong beragama Islam diminta membaca surah al-Fatihah manakala yang bukan beragama Islam sekadar bertafakur.

"Allahyarham yang merupakan bekas pengurus berkaliber bola sepak Kedah meninggal pada 15 Julai 2008 pada usia 69 tahun.

"Antara sumbangan besar bapa pembangunan bola sepak Kedah ini ialah mempopularkan gelaran Hijau Kuning  dan meninggalkan lagu rasmi pasukan Kedah ‘Biar Jasa Jadi Kenangan’ yang juga merupakan moto KFA yang kekal hingga ke hari ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Aminuddin, Ahmad Basri mula mengukir nama di arena bola sepak tanah air selepas menerajui pasukan Kedah hingga layak ke pertandingan akhir Piala Malaysia selama tiga tahun berturut-turut dari tahun 1987 hingga 1989.

"Kedah turut menjuarai Piala Malaysia dan Piala FA di awal 90-an dan Allahyarham merupakan watak utama yang merancang kebangkitan skuad Hijau Kuning bermula musim 2006 apabila merintis kejayaan buat Kedah untuk merangkul tiga piala dalam dua musim berturut-turut iaitu pada 2007 dan 2008," jelasnya.

Lihat Komen