malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
KBS sedia baiki kerosakan Stadium Shah Alam
ADS

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini menyatakan kesediaan untuk membantu kerajaan Selangor membaiki kerosakan bumbung Stadium Shah Alam yang dianggar menelan belanja RM60,000.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Lokman Hakim Ali, melawat Stadium Shah Alam secepat mungkin bagi tujuan tersebut.

“Kita akan bantu sebab saya tahu ada kekangan kewangan pada peringkat kerajaan negeri dan stadium ini juga akan digunakan sebagai venue pertandingan Sukan SEA.

“Soal kerajaan negeri daripada parti lawan tidak timbul sebab ini soal profesional. Apabila kita bercakap soal dasar kerajaan dan sebagainya kita ketepikan soal politik, kita akan bantu kerajaan Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Jerantut, di Jerantut ini.

Khairy mengulas laporan sebuah akhbar semalam tentang permohonan kerajaan Selangor terhadap KBS supaya membantu memperbaiki kerosakan bumbung stadium itu yang dianggar menelan kos antara RM50,000 hingga RM60,000.

Mengulas lanjut tentang perkara itu, beliau berkata KBS menolak permohonan kerajaan negeri sebelum ini untuk membaik pulih stadium itu kerana kerosakan ketika itu tidak terlalu serius.

“Tidak ada apa-apa masalah besar ketika itu, namun apabila berlaku kerosakan kemudahan semasa perlawanan bola sepak Malaysia menentang Myanmar baru-baru ini, maka kita merasakan ada keperluan untuk kita membaiki kerosakan itu,” katanya.

Sebahagian bumbung di tempat duduk penonton stadium itu diterbangkan angin semasa perlawanan antara skuad bawah 22 (B-22) negara menentang Myanmar B-22 sehingga ada yang masuk ke kawasan padang baru-baru ini.

Keadaan itu mencetuskan kebimbangan memandangkan stadium tersebut merupakan venue untuk acara bola sepak lelaki bagi Kumpulan A yang diisi oleh Malaysia, Myanmar, Singapura, Laos dan Brunei dalam Sukan SEA nanti.

-Bernama

Lihat Komen