malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Lasak dan agresif, ramai yang tidak biasa mendengar mahupun melihat atlet wanita bergasak dalam sukan bola keranjang yang popular dalam kalangan atlet lelaki.

Malaysiakini sempat berkunjung ke Stadium MABA, Kuala Lumpur yang baru diubah suai sempena temasya Sukan SEA 2017 dan melihat sendiri latihan skuad wanita kebangsaan yang bermula seawal 7 pagi.

Ada yang masih menahan sakit daripada kecederaan ringan, ada juga yang kelihatan letih dan lenguh daripada latihan dua sesi setiap hari.

Namun, semangat membara yang jelas kelihatan daripada riak muka setiap atlet wanita negara yang masih dahagakan kemenangan manis mendapat pingat emas lagi di gelanggang sendiri.

Dari Jepun ke Australia, kini ke Taiwan

Dinobatkan juara pada Sukan SEA yang lalu meletakkan skuad wanita Malaysia antara pasukan yang terbaik di Asia Tenggara dan mempertahankan 'mahkota' sejak sekian lama.

"Bukan mudah untuk kita sampai ke tahap ini," inilah ungkapan ketua jurulatih pasukan wanita negara Yoong Sze Yuin yang juga pernah mewakili Malaysia dalam acara itu.

Yoong yang juga bekas pemain pertahanan terbaik Malaysia berkata, mereka kini berada dalam 70 peratus persediaan dan banyak latihan intensif sejak berakhirnya kejohanan jemputan antarabangsa MABA bulan lalu.

"Latihan demi latihan, termasuklah program pendedahan luar negara di Jepun dan Australia pada bulan Mac dan Jun. Satu lagi program intenstif akhir di Taiwan bermula minggu depan hingga akhir bulan ini.

"Kita akan berdepan dengan tujuh perlawanan. Awalnya ada lapan, tetapi saya kurangkan satu perlawanan agar anak buah saya dapat rehat secukupnya sebelum kembali ke tanah air," ujar Yoong.

Ketika latihan awal pagi di MABA, wajah ketua jurulatih itu yang tampak serius memerhatikan para pemain melakukan drill dan suaranya yang lantang bergema dalam stadium memberikan gambaran skuad negara sedia 'bertempur' bila-bila masa.

Semakin hari, semakin terasa

Bagi ketua pasukan negara, Nur Izzati Yaakob, detik-detik bermulanya temasya Sukan SEA semakin dirasainya.

"Bagaikan baru semalam sahaja kita memenangi pingat emas di Singapura dua tahun lalu. Kini hanya 30 hari lagi, kita sedia bertempur," katanya.

Izzati yang turut memimpin pasukan negara dua tahun lalu berkata, persediaan kali ini lebih banyak didedahkan di luar negara dan merasakan hubungan antara pemain dalam pasukan kian rapat.

"Hanya dua pemain baru yang menyertai skuad tahun ini, hampir kesemua pemain dalam pasukan merupakan barisan yang sama sejak 2015. Tekanan itu tetap ada dan banyak kelemahan yang kami kenalpasti sejak beberapa latihan intensif termasuklah kejohanan antarabangsa baru-baru ini.

"Beraksi di gelanggang sendiri dalam Sukan SEA di Kuala Lumpur tahun ini sejak 2001 lalu, saya rasa ramai yang menanti-nantikan pasukan Malaysia di Stadium MABA. Kalau dibandingkan dengan dua tahun lalu, banyak yang berubah. Skuad kita kini lebih kental, agresif dan bersedia untuk 'berperang' bila-bila masa sahaja.

"Saya harap peminat bola keranjang Malaysia akan memberikan sokongan padu kepada kami semua pada Sukan SEA nanti," jelasnya.
 

Lihat Komen