malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Penjaga gol PDRM jalani rawatan leukimia
Diterbitkan:  Jul 14, 2017 4:53 PM
Dikemaskini: 9:14 AM
ADS

Berita sedih menyelubungi pasukan PDRM apabila penjaga gol mereka, Muhammad Hamdan Sairi disahkan menghidap penyakit leukimia dan kini terpaksa melupakan karier bola sepak buat sementara waktu.

Hamdan dilaporkan pada mulanya dimasukkan ke hospital akibat demam panas sebelum disahkan menghidap penyakit berkenaan.

Beliau telah menjalani rawatan kemoterapi pertama pada 19 Jun lalu dan dijadual akan menjalani rawatan kemoterapi kedua di Hospital Ampang, 24 Julai ini.

Kali terakhir pemain berusia 30 tahun itu beraksi ialah ketika pasukannya menentang PKNP FC 24 Mei lalu.

Sebelum ini, berita mengenai penyakit Hamdan tular di laman sosial dan mendapat perhatian khususnya di kalangan peminat bola sepak negara.

 

Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFA Malaysia), Hairuddin Omar berkata, Hamdan terpaksa melupakan bola sepak untuk sementara waktu sehingga pulih daripada penyakit dihadapinya.

"Semoga Hamdan kuat dalam melawan penyakit yang dihadapi dan pastinya kami akan setiasa memberi sokongan moral yang tidak berbelah bagi kepadanya.

"PFA Malaysia sentiasa mengambil berat akan kebajikan rakan-rakan pemain dan kita akan cuba sedaya upaya untuk membantu Hamdan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hamdan, yang juga bapa kepada tiga orang anak merupakan anggota polis dan mula berkhidmat sebagai penjaga gol skuad The Cops sejak 2011.

Terdahulu, Hairuddin bersama Ketua Pegawai Eksekutif PFA Malaysia Izham Ismail serta kru persatuan itu berkesempatan menziarahi Hamdan di kediaman mertuanya di Sungai Kandis, Shah Alam hari ini.

Pada pertemuan tersebut PFA turut menyerahkan sumbangan berbentuk wang tunai dan ole-ole Aidilftiri kepada Hamdan.

 

 

Lihat Komen