Menang pun Kim Swee belum puas hati

(Dikemaskini )

Biarpun menang 2-0 ke atas skuad bawah 22 (B-22) Myanmar dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, malam tadi, ketua jurulatih B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee tidak puas hati dengan bahagian tengah dan pertahanan skuad tersebut.

Beliau menjelaskan kelemahan ketara dapat dilihat apabila barisan pertahanan gagal melakukan ‘çlearance’ bola dengan cepat manakala pemain tengah tidak melakukan hantaran kemas serta kerap kehilangan bola.

"Situasi seperti ini membuka peluang kepada pasukan lawan melakukan serangan balas dengan pantas," katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.

Pada aksi di Shah Alam, N Thanabalan meletakkan skuad muda negara di hadapan pada minit ke-26 sebelum pemain gantian, Muhammad Danial Ashraf Abdullah menjaringkan gol kedua pada minit ke-86.

Kim Swee mengakui tempoh latihan singkat sehari selain faktor keletihan akibat jadual Liga Malaysia yang padat menjadi punca pemain gagal memberikan persembahan terbaik pada perlawanan berkenaan.

Justeru, beliau berharap anak buahnya akan menggunakan baki empat hari untuk memperbaiki kelemahan sebelum mengharungi perlawanan pusingan kelayakan Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 2018 di Bangkok dari 19 hingga 23 Julai ini.

Malaysia diundi bersama dalam kumpulan H bersama Indonesia, Mongolia dan tuan rumah Thailand pada kejohanan berkenaan.

-Bernama

Share