malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Berlatih sehari, Malaysia tewaskan Myanmar
Diterbitkan:  Jul 13, 2017 10:42 PM
Dikemaskini: 3:29 PM
ADS

Walaupun berdepan ujian getir untuk mengumpulkan pemain dan berlatih, skuad Malaysia bawah 22 tahun (B-22) berjaya menewaskan pasukan Myanmar B-22, 2-0.

Skuad Projek Sukan SEA 2017 yang kini dibimbing Datuk Ong Kim Swee ditentang sengit pasuakn pelawat pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Pasukan negara berjaya meletakkan kedudukan mendahului lawan pada minit ke-26 melalui N Thanabalan.

Melalui bola hantaran sepakan penjuru, penyerang 22 tahun itu berjaya menyempurnakan satu tandukan membolosi gol lawan.

Terdahulu, percaturan Kim Swee dilihat sedikit tergendala selepas diuji dengan hanya enam pemain hadir pada hari pertama kem latihan pusat yang bermula 5 Julai lalu.

Kem latihan yang tidak mendapat sambutan itu susulan keengganan pasukan negeri dan kelab melepaskan pemain muda yang turut beraksi dalam saingan liga Malaysia.

Bagaimanapun, seramai 26 pemain termasuk beberapa muka baharu yang dipanggil, sudah melaporkan diri dan menjalani latihan bersama, semalam.

Skuad negara bermula baik di separuh masa pertama, Adib Zainudin dan rakan-rakan nampaknya mampu menyerap tekanan ketika pasukan dianggap kurang bersedia, berbanding skuad Myanmar.

Pada awal permainan, kedua-dua pasukan tampil agresif dengan rentak permainan pantas dan saling berbalas serangan.

Pemain negara mempamerkan semangat juang tinggi dengan larian-larian bertenaga setiap kali melakukan serangan mahupun diasak lawan.

Babak 45 minit kedua, perlawanan terus diharungi dalam keadaan hujan lebat memaksa pemain-pemain menyesuaikan tempo permainan dengan padang licin dan becak.

Malah, pada penghujung separuh masa pertama perlawanan terpaksa dihentikan seketika susulan insiden bumbung stadium diterbangkan ribut ke kawasan padang.

Namun, tuah ternyata milik pasukan negara apabila giliran Muhammad Danial Ashraf pula menambah derita skuad Myanmar yang dibimbing jurulatih dari Jerman, Gerd Zeise.

Keputusan 2-0 itu dilihat bakal menjadi pencetus buat Kim Swee dan barisan pemain untuk menghadapi cabaran Kelayakan Piala AFC 2018 di Bangkok, Thailand, 19 Julai ini.

Lihat Komen