malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Sukan
Kedah tolak siaran langsung berturutan di Darulaman
Diterbitkan:  Jul 13, 2017 7:45 PM
Dikemaskini: 11:49 AM
ADS

Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) tampil memberi penjelasan berhubung pembatalan siaran langsung membabitkan perlawanan skuad Helang Merah menentang Selangor dalam aksi Liga Super di Stadium Darulaman, Alor Setar, Sabtu ini.

Setiausaha kehormatnya, Datuk Aminuddin Omar berkata, siaran langsung itu tidak munasabah bagi sebuah pasukan tuan rumah yang beraksi di gelanggang sendiri disiarkan secara langsung dalam tiga perlawanan berturut-turut.

"KFA amat berterima kasih dengan penyiar rasmi Media Prima kerana memilih pasukan Helang Merah dan ini adalah satu penghormatan dari pihak penyiar rasmi yang memberi tumpuan terhadap prestasi pasukan dalam pemilihan siaran langsung.

"Namun ia haruslah selari dan diputuskan atas dasar situasi menang-menang untuk kebaikan semua pihak. Untuk rekod masih ada pasukan lain dalam Liga Super yang masih belum disiarkan secara langsung," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebagai rekod selepas liga Malaysia bersambung pada Julai ini, dua perlawanan di Stadium Darulaman disiarkan secara langsung iaitu pada 1 Julai bertemu Perak FA (Liga Super) dan 4 Julai bertemu Melaka United (Piala Malaysia).

Terdahulu, isu pembatalan siaran langsung itu menjadi viral di kalangan penyokong Kedah sekali gus tidak berpuas hati terhadap KFA susulan keputusan itu.

Sementara itu Aminuddin berkata, KFA mengalu-alukan sebarang usaha untuk menyemarakkan suasana liga Malaysia dan tidak pernah menghalang pihak penyiar rasmi membuat rakaman siaran langsung membabitkan pasukan Kedah di Stadium Darulaman mahupun di gelanggang lawan.

"KFA juga terbuka menerima siaran langsung membabitkan Helang Merah selepas ini namun pemilihan serta pemakluman awal secara rasmi mengenai sesuatu siaran langsung haruslah dibincangkan.

"Ini adalah penting kerana ia dapat mengelakkan daripada terjadinya sesuatu isu penundaan atau pembatalan di saat akhir," ujarnya.

Tambah beliau, pihak persatuan berterima kasih buat semua penyokong hijau kuning yang berterusan menyokong pasukan di semua gelanggang terutamanya di Stadium Darulaman.

"Pengorbanan setiap penyokong akan menjadi azimat pasukan untuk terus beraksi cemerlang pada musim ini. KFA percaya sokongan melalui pelbagai cara adalah faktor utama kemeriahan liga Malaysia terutamanya di bumi jelapang padi," kata Aminuddin.
 

Lihat Komen